Wednesday, September 29, 2010

Lobak dan Carrot

Bahasa Melayu yang banyak slang dan dialeknya kadang-kadang menyebabkan banyak perkataan yang double meaning, kan..


keciknya gambar..google

Contohnya perkataan lobak dan carrot.Kalau negeri lain lobak adalah carrot.Tapi kalau orang Kelantan lobak adalah sawi.Orang Kelantan memanggil carrot, carrot la.Kelas, kan.

Kawan saya hampir bergaduh disebabkan dua perkataan ni.Yelah yang dipesan beli carrot yang tiba, sawi.Dah ada menu dalam kepala nak masak tiba-tiba tergendala bila bahan tak cukup.Kesian pula..


Tuesday, September 28, 2010

Nak dikasihi Mestilah Mengasihi

Biasanya bila menjelang raya kita banyak didedahkan dengan kisah ibu bapa terdampar.Ditinggalkan di rumah-rumah orang tua.Anak langsung tak menjenguk bertanyakan kabar.Kadang-kadang saya terfikir apalah kesilapan dan dosa mereka sehingga keadaan sebegini berlaku?Biasanya kita cuma didedahkan dengan cerita hubungan mereka dengan anak-anak tapi tidak pula hubungan mereka dengan ibu bapa mereka sendiri.

Kawan saya pernah menceritakan dukanya memelihara ibu mentua.Adik beradik suaminya, seramai lapan orang yang semuanya bergaji besar, tak pernah bertanyakan kabar apatah lagi nak menjaga ibu mereka.Disebabkan kawan saya juga bekerja, ibu mentuanya terpaksa ditinggalkan kepada maknya yang juga sudah agak uzur.Ditambah pula ayahnya juga tidak begitu sihat.Kesian juga maknya terpaksa menjaga suami dan besan yang uzur sekaligus.Rupanya mentuanya juga pernah melakukan perkara yang sama kepada mak bapanya.Tak hairan.Buat baik dibalas baik itulah janji Allah.Kemungkinan ipar-ipar kawan saya untuk mengalami keadaan yang sama bila tua sangat besar,kan?Jangan pula nak salahkan anak bila kita terdera di hari tua..

Nabi dah ingatkan kita :Abu Hurairah r.a berkata:
Seorang lelaki datang bertemu Rasulullah SAWdan bertanya:
"Siapakah manuasia yang berhak aku layan sebaik-baiknya?"
Baginda menjawab:"Ibumu"
Dia bertanya lagi:"Kemudian siapa?"
Baginda menjawab:"Ibumu"
Dia betanya lagi:"Kemudian siapa?"
Baginda menjawab:"Ibumu".
Dia bertanya lagi:"Kemudian siapa?"
Baginda menjawab:"Bapamu". (Sahih al-Bukhari)

Kemudian diingatkan lagi kepada kita:"
Daripada Jabir bin Abdullah r.a katanya: "Telah bersabda Rasulullah (sallallahu alayhi wasalam): Barangsiapa yang tidak menyayangi (mengasihi) sesama manusia, niscaya Allah tidak akan menyayangi (mengasihi)nya. (sahih al-Bukhari)

P/S: Nak dikasihi, mestilah mengasihi..

Monday, September 27, 2010

Jiran Muslim Saya

Sebetulnya saya mengenali Abang Basheer sejak awal tahun ni lagi.Rumah selang 3 buah rumah saja dari rumah kami.Terperanjat juga saya bila disapa lelaki mat saleh yang fasih berbahasa Melayu ketika mengambil Danish pulang dari sekolah.Rupanya dia berkahwin dengan orang Melayu Malaysia tetapi telah menetap di sini sejak bila mak bapanya ke Chrismas Island untuk bekerja di lombong emas.Dia kenal isterinya,Kak Anger@Ani ketika bekerja di sana.



Nilah Abang Basheer, gambar kak Ani dan anak-anaknya tiada dalam simpanan..

Bila nak kawin, ibu bapa Kak Anger mensyaratkan dia mesti fasih berbahasa Melayu.Sebab tulah dia fasih.Yang kelakarnya empat orang anak mereka terpaksa masuk kelas intensif English kerana tidak tahu cakap Inggeris.Cikgu-cikgu pun pelik, surname mat saleh tapi sepatah haram tak tahu cakap Inggeris.Bahasa utama mereka adalah Bahasa Melayu.Tapi sejak semua dah bersekolah anak-anak lebih selesa bercakap Inggeris.

Hubungan kami kini semakin rapat bila anak-anaknya belajar mengaji dengan saya.Seronok juga ada jiran Muslim.Taklah terasa terasing sangat di kalangan jiran-jiran mat saleh..

Sunday, September 26, 2010

BLOG LIST BEN ASHAARI SEPTEMBER

Ketika sedang publish "Jom Tengok Bunga Kat Araluen", saya ternampak tajuk ni, BLOG LIST BEN ASHAARI SEPTEMBER. So teringin juga nak join kot-kot boleh meningkatkan blog traffic. Tq, Mr. Ben..

Jom Tengok Bunga di Araluen

Saya betul-betul teruja nak tengok bunga kat Araluen, kira-kira 70km dari rumah kami.Apatah lagi kawan-kawan yang pernah ke sana 'menjaja cerita-cerita yang begitu menggiurkan hati.Semalam kami ke sana.Alahai indah kabar daripada rupa.Rupanya tahun ni tak banyak pula bunga.Dah sekarang ni saya tak larat sangat nak berjalan.Mabuk-mabuk gitu.Frust juga la..


Selepas spring bunga-bunga ni di cabut dan ditanam semula.Tulip yang paling saya nak tengok.Memang cantik, tapi memang tak betul-betul memuaskan hati sebab saya bayang seperti kat Neatherland.Kalau tengok promo kat tv tahun lepas pun itulah yang digambarkan.Tahun ni langsung promo tak keluar.Memang tak dialu-alukan ke sana kot..Ada juga bunga lain.Banyak yang tak tahu namanya..


Apapun layan je gambar ye..Saya publish tiga gambar je nak tengok selebihnya tengok kat blog suami saya ye.Ini pun saya pinjam yang dia dah edit untuk blognya..Tapi dia pun belum publish kesemua gambar..




 <><><><><><><><><> 
<><><><><><><><><>
sakura?
ala-ala rose tapi baunya tak sama..
sakura?

tulip putih
    

Saturday, September 25, 2010

Doakan yang Baik-baik Saja Tau..

Pendek je doa suami saya lepas solat Isyak berjemaah malam tadi..Saya tanya dia "Apa yang abang minta?Pendek benar doanya". Balasnya"Ya Allah bukakan hati isteriku untuk menandatangan segala borang-borang..".Ayatnya tergantung sampai situ saja.Tapi saya dapat tangkap maksudnya.Saya"Betul-betul berhajat ke?Bak sini nak sain.Hahaha"Suami saya memang suka bergurau, kalau masa mula-mula kawin mesti nangis punya.Yelah tak faham peelnya.

Kemudian saya kata lagi "Abang, kalau betul-betul teringin kena fikir banyak-banyak, sapa la sanggup jaga abang selain sayang.Bab nak jaga makan pun mesti orang lain tak sanggup".Saya cakap begitu kerana dia ni memang cerewet bab makanan.Banyak pantang larang, itu tak suka makan, ini tak boleh makan. Yang paling utama tak suka makan kat kedai.Sibuk macamana pun dia akan pastikan makan kat rumah.Bila sedar kelemahannya kat situ saya sentiasa berusaha belajar memasak segala makanan kegemarannya.Saya tak malu-malu menanyakan mak mentua kesukaan suami.

Tapi kalau dah ditakdirkan berpoligami juga, apa nak kata..Jodoh dan maut, semuanya ketentuan Ilahi.

P/S: Sekolah mula bercuti hari ni selama dua minggu.Bolehlah jalan-jalan tengok bunga.Spring dah tiba ni..


Friday, September 24, 2010

Terimalah Dia Seadanya

Macam-macam cerita timbul sejak ramai orang Malaysia 'mampu' menggaji pembantu rumah asing.Tapi lebih banyak cerita duka daripada yang suka.Didera, dirogol, dibiarkan kelaparan, berkerja tanpa rehat, diperlakukan seperti hamba.Sekarang ni dengan membayar $500-$600 sebulan kita mampu memiliki hamba.Yang langsung tak dibayar pun banyak juga.Inilah bentuk perhambaan zaman moden.Mereka diperlakukan sesuka hati tanpa rasa kemanusiaan.


Saya tak suka mengambil pembantu rumah, sebab saya bukan penyabar orangnya.Bimbang kalau tak puas hati dengan hasil kerja mereka saya naik angin tak tentu pasal.Biarlah rumah tunggang langgang, rela saya lakukan segala kerja bibik.Lagi satu, rasa macam privacy rumahtangga terganggu gugat bila ada orang asing.Bukan cemburu.Tapi mesti tak bebas nak buat aktiviti dengan keluarga sendiri.Kalau dapat yang bagus tak pe.Bukan senang nak cari yang tahu buat kerja sekaligus tahu menjaga aurat & tahu menjaga tingkah laku (tak pasal-pasal suami kita menambah dosa!).


Saya biasanya hanya mengupah orang mengasuh anak semasa kami bekerja (nurseri hanya terdapat di pekan Setiu kira-kira 15km dari rumah).Tapi kena pandai jugalah pantau kot-kot anak terdera semasa kat rumah pengasuh.Walaupun pengasuh tak tinggal bersama, saya akan pastikan kebajikan mereka tetap terjaga.Saya akan beri mereka gaji lebih sedikit berbanding upah pengasuh lain.Tak sampai $50 pun.Setiap kali gaji, saya pasti membelikan hadiah kain pasang ke, kek ke, atau apa-apa yang patut.Bukan nak menunjuk-menunjuk.Tapi saya sedar manusia kalau diberi penghargaan mesti dia menghargainya.Anak kita pula pasti lebih terjaga.


Saya pernah dimarah oleh seorang kawan kerana memberi gaji lebih kerana pengasuhnya juga meminta gaji yang sama.Entahlah kenapa si dia berkira sangat dengan duit, padahal suaminya ada bisnes sendiri, sedangkan suami saya cuma pensyarah cabuk..hehehe..Duit banyak pun bukan boleh dibawa masuk kubur pun.

P/S: Jangan terlalu diharapkan kesempurnaan daripada manusia.Kekurangannya sedikit sebanyak mestilah kita bersedia memaafkannya.

Thursday, September 23, 2010

Kalau Nak Berjimat Boleh Saja

Bulan lepas semua kawan kat sini merungut bila bil elektrik masing-masing melambung.Sehingga mencecah $200-$300. Saya cool sahaja, bil elektrik kami cuma $90.Semuanya bertanyakan petua.Hahaha.Mana ada petuanya.Kadar elektrik kan sama untuk semua rumah.


Saya faham dah 2,3 bulan kami kat sini mengalami winter, jadi masing-masing memasang heater 24 jam sehari mana tak tinggi bil elektrik.Berbeza dengan saya, heater hanya akan dipasang hanya pada malam hari, itupun sekiranya tak mampu menahan sejuk.


Jadi nak mengatasi kesejukan, kami akan mengenakan 2-3 lapis baju tebal.Kemudian berselimut pula.Tak kira siang atau malam, itulah pakaian kami.Saya yang sedia montel ni dah macam mak bear besarnya..Kuikuikui.


Anak-anak pun tidur dibilik kami.Anak belum pun sepuluh tahun jadi masih boleh tidur dengan mak bapak, kan.Islam tak larang.Bila dah panas sikit baru pindahkan anak ke biliknya.Kami boleh jimat lagi.Lagi satu latih anak-anak tidur tanpa lampu sejak dari kecil, kalau tidur bergelap pun tiada masalah.Biasanya hanya satu lampu terpasang kat rumah kami sama ada di luar bilik tidur atau di ruang tamu (sebelum tidur).


Akhir sekali, pastikan semua stand by plug ditutup bila tidak digunakan.Tak kiralah cerek ke, mesin basuh ke, microwave ke..Barulah boleh jimat.Bab ni saya banyak belajar daripada mak yang memang sentiasa melatih anak-anak berjimat.Tq, Mak..


Alhamdulillah terselamat daripada jadi kawan syaitan.Duit yang ada sedikit sebanyak tu boleh la saya beli corelle banyak-banyak.La bazirkan kat situ pulak..Tak pe la kawan-kawan lain pun beli juga..


P/S: Agak-agaknya, suami bangga tak dengan diri saya ni? Ahaks..


Wednesday, September 22, 2010

Rumah Tok Wan ada Penjara!!!!

Semasa balik ke Malaysia Mac lepas, anak-anak saya terpegun seketika bila lihat rumah tok wan mereka (mak saya) ada penjara!Yang dimaksudkan mereka penjara di sini ialah gril yang tedapat di tingkap dan pintu rumah."Hahaha" Saya dan suami hanya mampu tergelak dengan kejakunan anak-anak.Bila diterangkan barulah si abang faham fungsi gril tu.Yang adik masih blur lagi.Kalau mak saya tutup gril biliknya malam-malam dia akan cakap "Apasal tok wan kunci penjaranya?". "Hahaha" ummi dan abahnya tergelak lagi.


Dia betul-betul tak faham beza penjara dan gril keselamatan sebab kat rumah kami di Perth ni langsung tiada.Semua tingkap dan sliding door cuma disendalkan dengan sebatang katu seperti batang penyapu.Tapi Alhamdulillah tak pernah pula dengar rumah-rumah di kawasan kejiranan kami ni kena pecah.Kalau kedai-kedai adalah.Diorang kat sini dah cukup duit gamaknya.Yelah yang belajar dapat elaun bulanan daripada kerajaan, yang menganggur pun dapat, yang anak ramai dapat elaun lebih daripada yang anak sikit, yang tua pun dapat.Sebab tu kurang jenayah pecah rumah.Cuma bila diorang mabuk tak usah ceritalah sampai sanggup membunuh.



hanya kayu lusuh yang menyendal sliding door kami..
(Gambar daripada hp)

Berbeza betul dengan suasana di Malaysia, kan?Hari-ada sahaja rumah kena pecah.Rumah mak saya cuma selang dua buah rumah dengan balai polis pun dipasangkan gril. Dapat membayangkan ketakutan kita.Yang rumah bergril pun kena kopak apatah lagi yang tak bergril!

Tuesday, September 21, 2010

Apa yang Saya dah Makan Ni?

Semalam, disebabkan boring tak tau apa nak buat, dah pukul 5 petang kami satu famili ikut suami basuh kereta.Memandangkan roti untuk dibekalkan Danish ke sekolah dah habis, kami menyinggah supermarket untuk membelinya.Kat sini memang susah nak cari roti yang ada certificate halal, dulu ada sekarang langsung tiada.Jadi kenalah berhati-hati bila membelinya.Kena baca ingredient betul-betul.Biasanya kami akan memilih yang 100% berasaskan tumbuhan..


Inilah rotinya..
 Kami beli dua jenis roti, roti burger dan roti sandwich wholemeal.Suami yang pilihkan.Jenama yang biasa kami beli.Masa sahur pagi tadi saya cuma makan roti sandwich sahaja dicicah susu.Tak selera nak makan nasi.Disebabkan lewat terjaga-pukul 4.30pagi, (sekarang ni 4.45pagi dah subuh) saya terus makan roti tu dengan yakin sekali. 2keping jugalah habis.Hairan juga sedap je roti tu, gebu sangat dan warna pun lain sikit daripada biasa.Tapi memang tak syak apa-apa.


Bila Danish nak ke sekolah saya letakkan jem pada 5keping roti.3keping dimakan kat rumah,2keping dibekalkan ke sekolah.Dia sempat makan 1keping barulah terlintas saya nak check ingredientnya.YaAllah! emulsifier 471,482e kat dalamnya.Kalau berasaskan tumbuhan,biasanya akan ditulis soy atau vegetable emulsifier.Saya dan anak dah termakannya!Macamana ni?Mudah-mudah diterima Allah kekhilafan ini.Memang tak sengaja.Bila diberitahu suami dia pun beristighfar panjang..Itulah antara cabaran kat tempat orang.Nasib baik jugalah roti burger halal.Jadi sarapan burgerlah anak-anak hari ni.


Monday, September 20, 2010

Red Lorry, Yellow Lorry

Anak saya si Danish sampai sekarang tak mampu nak menyebut huruf 'R' dengan betul. Macam-macam cara kami buat untuk betulkannya.Tapi dia ni malas nak exercise lidah.Kalau dipaksa-paksa menagislah.Kesian juga bila dia terkial-kial nak membezakan huruf 'ro' dan 'gho' bila ngaji Quran.Kalau speaking lagilah pelik je bunyinya.

Teringat arwah cikgu Arifah (nanti kalau ada kesempatan, saya buat entry khas untuk cikgu tersayang ni), cikgu kelas saya semasa darjah dua dan tiga yang selalu melatih ketua kelas kami yang mengalami masalah yang sama.Lepas mengajar dia akan menyuruh kawan saya tu sebut "Red Lorry, Yellow Lorry".Tapi saya tak pasti sama ada dia pandai atau tidak menyebut huruf 'R'sekarang.Cuba juga latihan ni untuk Danish.Tapi tak mau juga dia..Alahai..

Sunday, September 19, 2010

Promosi! Promosi! Promosi!

Mesti ada yang tak puas hati bila baca blog saya yang jarang-jarang bergambar ni, kan.
Jadi sekarang ni sapa-sapa yang nak tengok aktiviti saya dan family bolehlah klik blog suami saya yang baru dibina.Blognya pasal gambar.Itulah beza kami suami isteri seorang suka tangkap gambar dan bergambar, seorang lagi memang tak suka nak amik tahu pasal gambar.Tapi perbezaan itulah mengeratkan kami..Selamat menikmati gambar-gambar family kami.

Ni dia blognya : http://baganatascorner.blogspot.com/


 

Saturday, September 18, 2010

Jom Rawat Darah Tinggi..

Musim perayaan ni saya pasti ramai yang blood pressure (BP) yang dah sedia tinggi bertambah tinggi.
Semua makaan dimakan tanpa apa-apa pantang, excercise lansung tiada, rehat tak cukup.
Mungkin itu antara faktor penyebab darah tinggi.
Bila BP dah mencapai 130/90, kita dah diiktiraf pesakit darah tinggi.
Darah tinggi menyerang secara senyap, kita takkan dapat mengesannya KECUALI bila melakukan pemeriksaan.
Tiada simptom-simptom tertentu bagi penyakit ni..
Saya pernah diserang darah tinggi ketika balik ke Malaysia baru-baru ni.
Tak tahu apa puncanya BP saya meningkat sehingga 175/110.
Yang pasti memang saya rasa penat sangat.
Mungkin juga cuaca panas melampau masa tu sehinggakan saya tak henti berpeluh hingga ke malam.
Bila jumpa doktor, saya diberi masa seminggu untuk menurunkannya.
Kalau tidak saya terpaksa mengambil ubat-ubat khas untuk pesakit darah tinggi!
Dahsyat betul umur belum menginjak 35 saya dah ada penyakit kronik.
Saya jumpa doktor hanya 3 hari, tak sanggup nak tengok BP sendiri.
Saya betul-betul takut, cuba surf kat internet petua-petua tradisional kot boleh membantu.
Tapi semasa kat Malaysia saya memang tak sempat nak merawat diri.
Banyak sangat kerja kat rumah mak nak disiapkan.
Tambahan masa tu adik nak kawin tiada orang lain kat rumah, sayalah harapan mak.
Kembali ke Australia, saya beli alat untuk mengukur BP sebab nak jumpa doktor sangat mahal.
Saya juga cuba petua ni :
-blend daun ketumbar / parsli / celeri dengan sedikit air, minum jusnya 2-3 kali sehari..
Alhamdulillah BP saya kembali normal kini 115/75!
Walaupun makan daging dan cheese sekali sekala!
Kepada yang memang dah ada sakit ni boleh la mencuba.
Yang belum sakit, jagalah kesihatan, jumpa doktor selalu.
Bukan darah tinggi sahaja yang merbahaya kepada kita.
Zaman serba canggih ni macam-macam sakit ada..


Friday, September 17, 2010

Boroskah Anda di Musim Perayaan?

Saya sangat-sangat yakin kawan-kawan kat Msia masih lagi dalam mood raya.
Ni ha.. nak  tanya sikit dah berapa banyak RM anda habiskan untuk persiapan raya?
Mesti banyak kan?
Kalau kat Malaysia dulu musim raya lah musim yang paling memeningkan kepala.
Nak beli pakaian raya anak, diri sendiri, suami, mak, MIL, adik-adik, SIL.
Belum campur  kos duit raya, kuih raya dan kos minyak untuk ziarah lagi.
Pening, pening, pening..
Kadang-kadang sampai negatif (terpaksa guna simpanan yang tak seberapa).
Bila raya gaji awal, nak tunggu gaji masuk lepas raya, aduhai seksanya.
Semasa kat Msia, saya ngajar di Setiu, suami ngajar kat Kuala Terengganu.
Jaraknya hampir 70km, pergi balik hampir 140km juga la.
Duit mengalir dah macam air.
Untuk minyak kereta sahaja kami terpaksa belanjakan RM1000 lebih sebulan.
Belum campur ansuran kereta, servis pula semakin kerap bila kereta banyak bergerak.
Itu yang saya angin sangat bila dapat tau minyak kat Malaysia naik lagi tempoh hari.
Sebab saya tau ramai orang Msia berkeadaan seperti saya.
Minta juga untuk tukar sekolah, tapi kalau tiada kabel, sekebal kabel TELEKOM,
jangan harap nak tukar.
Saya kat Setiu  6 tahun lamanya.
Tak tahu berapa lama turun naik JPN bodek pegawai bahagian pertukaran.
Tapi tak dapat-dapat juga sihngga saya ke sini.
Cikgu-cikgu yang ada kenalan di JPN atau PPD sekadar transit je lah kat Setiu tu.
Sapa yang pernah sampai Setiu sahaja tau betapa azabnya tinggal kat situ.
Sebuah padang jarak padang terkukur..hehehe
Kalau kawasan sekolah saya tu, serba kekurangan (saya bukan di pekan Setiu)
Kedai runcit cuma sebuah, kedai-kedai makan nak hidup pun segan,
Mujurlah seminggu sekali ada pasar malam.
Itulah tempat shopping saya!
Sebulan sekali turun bandar untuk top up bekalan
Tapi bila dah susah ada juga indahnya kan..
Bila sampai kat Perth ni lain pula pengalamannya..
persiapan raya semuanya ala kadar.
Sangat jimat, memang berbaloi,
Cuma duit raya kena sediakan $5 untuk sorang budak..
Itulah not kertas yang paling kecil.
Aduhai..mujur tak ramai hehehe
Yang pasti, susah ke senang ke semua itu ujian daripada Allah..

Thursday, September 16, 2010

Nuffnang, di Mana Dikau?

Sejak-sejak lepas raya ni, semangat 'M' kembali membara,
Perut selalu penuh gamaknya,
Mata berat, otak lagilah slow..hehehe
Puasa enam baru sehari terlaksana.
Jemputan Open House masih ada lagi hari ni.
Tak pergi, rasa macam tak kena pula.
Bukannya ramai orang kita kat sini.
Pagi ni saya terbaca artikel pasal Nuffnang kat KOSMO
Wah! Rasa teruja pula nak tulis blog.
Teruja bila baca kisah kak RED, VIVVY SOFINAS,NOR IZDYANI..
Pendapatan mereka dah mencecah RM5000-RM10000 sebulan.
Hanya menulis blog dan menyiarkan iklan nuffnang..
Kalau camni boleh lah bekerja dari rumah, kan?
Saya memang dah lama mengimpikan kerjaya yang tak memerlukan kita keluar rumah.
Tapi saya memang tabik spring dengan mereka,
Untuk update blog ada yang sanggup habiskan 5-6jam masa di depan komputer..
Memang betul apa yang ditulis hanya berkisar tentang kehidupan seharian,
Namun nak memerah otak untuk update setiap hari, bukan kerja yang senang..
Saya sebenarnya dah hampir sebulan berdaftar dengan nuffnangAustralia.
Seminggu sebelum raya, dah naik BEGA CHEESE, produk Australia.
Tapi kenapa tiba-tiba hilang iklan tu ya?
Ada idea tak macamana nak timbulkan semula iklan tu?
Niat saya berblog hanyalah nak mengisi masa lapang je.
Bila tengok bloggers dok tayang cek masing-masing, apa salahnya saya turut mencuba.


  

Monday, September 13, 2010

Raya Dah Habis !!!

Hari ni rutin kembali seperti biasa..
Danish ke sekolah, suami ke work station..
Bermakna tamat sudah raya bagi kami di sini.
Namun begitu ada lagi jemputan open house Rabu ni.
Itulah adat raya di perantauan, kan..
Alhamdulillah raya jatuh hujung minggu dapatlah raya 3hari,
kalau tidak sehari dua sahajalah raya..
Apapun teruskanlah beraya untuk orang-orang kat Malaysia..
Hargai peluang yang ada..


P/S: Takziah untuk keluarga Sosilawati dan pembantu-pembantunya..Tragis sungguh kematian mereka

Friday, September 10, 2010

Sapa kata raya kat Perantauan Tak Meriah 2

Seperti yang dimaklumkan sebelum ni, jika raya jatuh hari Jumaat, saya akan ke sekolah Danish beri sokongan. Dia berlakon watak ahli sihir.Sekolahnya macam dah bertukar jadi disko sebab lakonan tu lebih berbentuk drama muzikal (betul ke istilah ni?).Budak satu dewan ikut menari.Hish..buat maksiat la raya kali ni..Hampir satu jam non-stop.Skrip lakonan 20 baris je.Rosak sambutan raya.

Balik je dari sekolah kami ke rumah Zainol Mac Wilson x-celebrity TV3.Yang pernah popular tahun 90-an dulu.Kalau yang lahir tahun 90-an mungkin tak kenal dia.Kalau nak kenal bolek klik link tu..saya tak bawa kemera ke rumahnya tadi.Dia sekarang dalam proses nak dapat PR dah.Nak terus menetap kat sini.

Selepas solat Jumaat, kami akan berkumpul rumah kak Sya dan Zali, yang baru je kematian baby dalam kandungan.Kami akan pot luck.Tak sempat nak masak sama-sama.Menu tengahari kami: soto dan nasi tomato.Malam sate dan nasi himpit.Ha! kan dah kata raya kat perantauan ni meriah..Cuma mak saudara mara je la tak de..



P/S: Kesian pula adik beradik saya kat kampung bila mak yang dijangkakan pulang dari umrah malam semalam tertunda hingga raya ketiga.Seri lah kami.Raya tak de mak kali ni..



Thursday, September 9, 2010

Andainya Saya Beraya di Malaysia

Bestnya baca kat blog-blog atau status FB.
Semua orang dah berada kat kampung sekarang.
Hari ni saya masih bersama Danial kat rumah.
Suami pergi work station, Danish ke sekolah.
Rutinnya macam hari biasa juga..
Kalau kat Malaysia mesti saya dah berada kat rumah mak atau mentua.
Buat ketupat, tapai pulut, atau rendang.
Saya memang tak suka buat kuih raya sebenarnya.
Sebab tu sampai hari ni hanya satu kuih je siap.
Itupun cam tak menjadi je.
Saya ni kalau nak kata old style pun memang boleh la.
Jangan tak percaya saya akan buat ketupat daun palas sendiri.
Dari kukus pulut hingga jerang ketupat.
Tapai pulut saya menjadi igauan keluarga tercinta.
Walaupun tak buat pakai daun getah tapi masih tetap meletop.
Pakai bekas plastik je.
Manisnya hmmm.. tak terkata..
Rendang biasanya saya tolong mentua je.
Biasanya hari terakhir puasa saya kat rumah mak.
Malam raya, saya kat rumah mentua hingga petang raya pertama.
Memang dah begitu turn raya kami sejak-sejak kawin.
Tak berebut, tak bermasam muka, tak bergaduh pun.
Rumah mak dengan mentua jaraknya tak sampai 10km.
Kalau jalan jem pun masih ada shortcut yang menghubungkan rumah kami.
Balik rumah mak memang ditunggu-tunggu.
Dapat jumpa 9 adik beradik tercinta.
Mak akan masak Nasi Air Sup Keting..
Ini menu raya rasmi kat rumah kami
Ah!rindunya..
Kenapa la saya tak minta mak buatkan semasa kat Malaysia tempoh hari.
Biasanya mak akan masak banyak.
Semua saudara mara akan serbu rumah kami.
Kiranya open house kat rumah mak petang raya pertama.
Macam kenduri pula sebab family kami sangat besar
Oh! Seronoknya.
Tahun ni tak tahu la mak sempat ke tidak sediakannya.
Mak buat umrah malam ni baru balik.
Mungkin kakak dah ambik alih.
Harap-harap tahun depan saya dapat beraya kat kampung.
Boleh jadi kenyataan ke?
Ikutkan tempoh pengajian suami hingga awal 2013.
Cepat-cepatlah bereskan kerja ye, bang..
Dah miss dua kali raya kat Malaysia.


Wednesday, September 8, 2010

Selamat Hari Raya

Hampir 10 malam masih belum tau raya ke tidak esok.
Kalau puasa hari tu suami saya call imam nak tau jadi ke tidak puasa.
Malam ni lepas Maghrib dia dah tidur.
Kena allergic.
Memang tak boleh silap makan sikit senang terkena allergic.
Hari saya masak mee kari, masukkan udang kering, daging, fish ball, crab stick.
Tak tahu yang mana satu bahan yang dia alah..
Lepas makan ubat, terus tidur.
So, tunggu je lah keputusannya.
Tapi rasanya esok belum raya.
Apa pun




'SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
&
MAAF ZAHIR BATIN"

Tuesday, September 7, 2010

Susahnya Masuk Masjid Kalau Ada Anak Kecil

Weekend lepas saya join Majlis berbuka puasa anjuran MSD & Persatuan Pelajar WA.Bertempat di Masjid Hepburn, masjid yang paling hampir dengan rumah kami.Sukanya bila dapat jemputan berbuka puasa sebab dapat la rasa menu masakan orang lain.Sebenarnya ada Pasar Ramadhan kat sini setiap hari Ahad.Sampai habis Ramadhan saya belum berkesempatan mengunjunginya.Ada sahaja halangannya.

Berbuka kat masjid hari tu sangat best menunya.Bubur lambuk permulaannya,kemudian solat Maghrib.Sambung makan nasi putih, ayam masak merah, kari daging dan dalca kambing.Kemudian moreh lagi lepas solat terawih 20 rakaat.Lepas solat 8rakaat saya terus balik.Anak-anak dah mengantuk.

Turut pergi ke Majlis tu Syikin kawan saya yang baru lepas pantang.Anaknya baru dua bulan.Jadi saya yang tolong ambikkan dia makanan.Disebabkan pihak penganjung tak sediakan tempat duduk,kenalah makan kat luar dengan kesejukan winter ni.Saya dan Syikin memilih untuk makan dalam masjid.Memandangkan betapa susahnya dia nak letak anak keciknya tu.Ada juga yang makan kat dalam bersama kami, anaknya baru 4 bulan.Dia pun ada kawan yang temankan.

Sehabis kami makan datang perempuan tua marah-marah"Masjid ni tempat sembahyang je bukan tempat makan.Nanti kalau sepah-sepah akak juga yang susah", Suaranya memang kuat, satu masjid boleh dengar.Berdesing telinga kami.Fikirlah sikit.Semua orang makan kat dalam sebab terpaksa.Kalau tak ingatkan dia lebih tua nak je saya jawab"Mak cik, zaman Nabi dulu orang Yahudi masuk kencing kat masjid tapi tak pula Nabi marah".Hish..nilah perangai orang Islam..Masjid kini hanya khas untuk solat sahaja fungsinya.Jumud betul.Padahal tiada sepahnya, bukan budak-budak yang makan..


Friday, September 3, 2010

Mood Nak Raya Belum Datang..

Jealous betul tengok orang-arang Msia kat dunia maya ni..
Semua dah tayang kuih raya la, baju raya la..
Saya masih tercari-cari mood itu.
Baju anak-anak dah beli dua pasang sorang.
Cukup la tu.
Bukan berpeluh pun nak tukar-tukar ala Bollywood.
Mak bapak pakai je la baju-baju tahun lepas.
Bukan acap pun pakai, 2 kali je setahun.
Raya Puasa dan Raya Haji.
Kuih raya belum siap walaupun sejenis..
Entah la kenapa betul-betul malas tahun ni.
Tahun lepas siap juga dua jenis kuih.
Kiranya paling rajin ni.
Kalau kat Malaysia langsung tak buat.
Main tempah je semua.
Lagipun masa tu belum ada oven nak bakar kuih.
(Beralasan lagi).
Banyak sebab malas sebenarnya,
Pertama,mood raya tiada bila salah seorang kawan kat sini baru je kematian anak yang dikandung dua hari lepas.
Kami cuma 5 family je kat sini.
Bila dah 1 family dah berduka memang tak best kita nak bergembira.
Bukan tiada orang Islam lain tapi kat sini kebanyakkannya ada family sendiri.
Jadi buat hal masing-masing.
Kedua, Danish ada special assembly hari Jumaat.
Kelasnya akan berlakon kat pentas.
Tak kan nak skip.
Kesian juga sebab dia dah penat-penat practise..
Kalau raya hari Jumaat, pagi-pagi lagi saya akan terpacak sekolah dia, beri sokongan.
Habislah impian nak solat sunat kat Masjid Hepburn.
Tahun lepas dah tak pergi sebab Danial kecil lagi..huhuhu
Ni la nasib beraya kat tempat orang..
Nak balik kampunggggggg....