Wednesday, December 30, 2009

Jamuan Laksa & Memancing di Mindarie Marina

Semalam adalah hari yang sangat memenatkan. Sebenarnya sejak dua, tiga minggu kebelakangan ni abang dan kawan-kawan kat sini dah tergila-gila pergi memancing kat Frementle,lebih kurang 45 minit perjalananan. Ikan kat sini memang banyak. Pergi 3,4 jam dapat dua baldi penuh ikan. Musim ni musim ikan tamban, naik jemu dah menengoknya. Jadi nak menghabiskan stok ikan tu, saya dan kaum ibu, bersepakat untuk buat laksa. Menu makan tengahari kami semalam laksa Kelantan dan laksa Penang.Bestnya makan beramai-ramai.

Yang kelakarnya kawan yang first time makan laksa Kelantan, terkejut bila kami hidangkan belacan sebagai penambah perisa. Wah! sedap pujinya. Kembang kempis 'chef-chef profesional' ni. Tapi bila dia makan laksa penang, dia juga menambah belacan dipinggannya kami pula yang ternganga. Dah la laksa tu kuahnya berbelacan, ditambah lagi tak cukup dengan tu, ditambah otak udang, lagi..Kalau kaum bapa rajin mengail ikan ada orang yang akan tercabut hidung ni..

Sorry gambar makan tak sempat nak shoot.Masing-masing dah tak sabar nak ngap..

memancing di celah-celah batu..
setia menunggu kepulangan suami-suami
tengok sampah je yang dapat..
indahnya sunset di Minarie Marina

Selesai makan, lebih kurang  pukul tiga, mereka sekali lagi sepakat nak memancing ikan besar-besar pula kali ni dekat je, kat Mindarie Marina lebih kurang 15 minit daripada rumah saya. Yang menarik, kat situ ada park. Kali ni boleh la ibu-ibu join. Sambil-sambil tunggu suami boleh layan anak-anak bermain. Lepas asar bertolak..

Sampai kat sana kami tercari-cari park, tak jumpa. memandangkan hari dah nak gelap, kami cari tempat untuk lepak. Jumpa dataran. Kat situlah tempat kami lepak. Semua boring sebab kat bawah dataran tu ada jeti, anak-anak asyik nak menjengah jeti. Bahaya betul..Tak sabar-sabar rasanya nak balik.

Bapa-bapa memancing kawasan berbatu, kononnya ada banyak ikan kat situ. Sejam lebih memancing, seekor ikan pun tak dapat. Sebelum balik sempat juga menyaksikan sunset. Subhanallah cantiknya ciptaanNya. Semuanya singgah rumah saya lagi makan laksa untuk second round..Bestnya kalau hari-hari dapat berkumpul..
 

Friday, December 25, 2009

Kristian & Islam di Perth

Hari ni adalah hari kebesaran orang-orang Kristian, iaitu hari Krismas..

Sunyi sepi melanda kawasan perumahan, tiada deruan kereta, tiada manusia lalu lalang, toko-toko perniagaan tutup sehari, semua sektor kerajaan pula ditutup selama dua minggu..Sangat berbeza dengan Malaysia cuti Aidilfitri pun cuma dua hari, malah ada yang tak dapat cuti kena stand by untuk memastikan semua sektor tetap berjalan. Mereka memang sangat mementingkan hubungan kekeluargaan daripada kita.

Tapi amalan ziarah menziarahi tak diamalkan kot sebab tu jalan lengang. Lagipun semalam mereka makan besar, pasti ramai yang masih pening-pening lalat kesan alkohol. Begitulah sinonimnya mereka dengan arak. Setiap pesta pasti tak meriah tanpanya! Tauke-tauke arak pasti tersenyum lebih lebar. Tak hairan banyak kedai mampu berdiri dengan gahnya dengan hanya menjual arak.

Apa yang saya perhatikan juga, di Malaysia kalau musim Krismas pastinya meriah dengan lagu-lagu Jingle Bell atau apa lagu-lain lain (saya tak tahu apa lagi judul-judul lagu Krismas ni) sama ada kat tv atau radio atau dipasang secara terbuka di pasaraya-pasaraya, atau pada musim Krismas inilah kita dapat tengok anak-anak Islam diperbodohkan, memakai topi atau pakaian santa. Sangat menjengkelkan. Terlupakah mereka hukum memakai pakaian berunsur agama lain boleh membatalkan akidah? Tapi kat sini suasananya berbeza. Nak tahu kenapa?

Australia memang sangat mengamalkan kebebasan beragama. Maksudnya semua agama tidak boleh menonjolkan ajaran agama masing-masing. Di sekolah-sekolah juga tidak ada matapelajaran khusus untuk mengajarkan nilai-nilai agama. Mereka sangat sekular sebenarnya, agama diketepikan sama sekali. Jadi masjid-masjid juga tidak boleh mengalunkan azan kuat-kuat, tak boleh siarkan ceramah-ceramah agama bacaan al-Quran. Tapi yang ruginya adalah orang Islam juga kerana nilai-nilai Kristian tetap diterap secara tidak halus kepada pelajar-pelajar. Kalau ibubapa yang tidak prihatin, anak mereka mungkin terlucut akidah Islamnya. Walaupun ada sekolah-sekolah Islam, ramai (termasuk saya) yang masih memilih untuk menghantar anak-anak di sekolah kerajaan, mungkin kerana tak sanggup kerana yuran yang terlalu mahal. Mujurlah saya tak lama berada kat sini..





Namun begitu orang Islam di sini masih kukuh pegangan agama mereka. Malah lebih kukuh daripada sesetengah orang Islam negara kita. Pengalaman saya mengajar agama di sekolah, menyebab saya berani berpendapat sedemikian. Kalau di Malaysia,susah sekali untuk mencari pelajar yang mampu membaca al-Quran dengan fasih walaupun mengajar kelas-kelas yang bijak dan baik skornya dalam peperiksaan! Tapi bila mengajar anak-anak orang Islam mengaji kat sini saya mampu menyimpulkan kita sebenarnya dalam zon yang sangat selesa.

Ramai anak-anak kita tercicir dalam pengajian al-Quran mereka semata-mata mengejar skor A. Sedihnya! Kepada yang dah beranak, pastikanlah anak kita menerima Pendidikan Islam yang sempurna, jangan terlalu mengharapkan mereka belajar di sekolah semata-mata, sentuhan ibubapa lebih berkesan..Dalam kesibukan menyediakan mereka dengan tuisyen-tuisyen, jangan lupa diajarkan al-Quran dan nilai-nilai Islam. Jauhilah panyakit 'hubbu ddunya'..

 

Tuesday, December 22, 2009

Susah Sangat ke Nak Kahwin?



257 411 orang anak luar nikah dilahirkan di Malaysia. Satu jumlah yang sangat besar bagi sebuah negara Islam..Itu yang dapat dikesan. Belum dicampur yang terbuang tanpa jejak, yang tidak bersalin di hospital-hospital kerajaan pun belum termasuk dalam hitungan ini. Dan yang paling pasti yang paling ramai terlibat adalah orang-orang Islam. Bimbang kalau-kalau azab atau bala Allah menimpa kita semua sebelum golongan ini bertaubat. Bala tak mengenal sesiapa! Sabda Rasulullah:
 “Apabila zina dizahirkan dalam sebuah negeri, sesungguhnya mereka telah menghalalkan bagi diri mereka (penduduk negeri itu) dengan azab Allah." [HR at-Tabrani].

Yang lebih mengaibkan bila masing-masing menunding jari ke arah pihak-pihak tertentu bila perkara ini dibangkitkan. Saya tak nak mempersalahkan sesiapa dalam hal ini. Cuma ingin membawa anak-anak muda berfikir dan bermuhasabah diri.

Saya pernah mempersoal seorang seorang kawan perempuan sebab dia tidak bernikah walaupun sudah berumur 27 tahun (beberapa tahun lepas). Dengan wajah yang cantik jelita, memiliki kerja tetap selama 4 tahun dan mampu memiliki kereta yang diidam-idamkan, saya pasti dia patut memiliki keluarga sendiri..Susah, jawabnya. Nak nikah pun kena hati-hati memilih calon.Betul juga jawapannya. Tapi sebenarnya si dia ni dah banyak kali dirisik tapi ada saja alasannya untuk menolak. Lelaki tu tak cukup hensem la, tak suka laki kerja polis la, tak bersedia la dan yang paling melucukan dia tak berkenan dengan suara lelaki yang merisiknya..Hahaha.. Dari sini, saya menyimpulkan dia pemilih sebenarnya. Di campur belum datang jodohnya, dia belum disunting..

Saya nasihatkan dia, kita orang perempuan ni, masa muda-muda bolehlah memilih tapi kalau dah berumur sikit mulalah disisihkan. Hasil nasihat saya, (setiap hari dia datang minta kaunseling, dan saya dah jadi kaunselor cinta dia) dia akhirnya menerima seorang lelaki sebagai kekasih. Ingatkan saya dah boleh berpencen daripada menjadi kaunselornya.. Rupa-rupanya dia takut pula nak mendirikan rumahtangga walaupun dah beberapa bulan menjalinkan cinta. Masih nak menangguhkan perkahwinan dengan alasan nak kenal lebih rapat lagi. Daripada pemerhatian saya ramai orang muda bercinta bagaikan nak rak sebab nak kenal perangai pasangan sebelum kahwin!

Kaunseling saya padanya, tak payah nak bercinta lama-lama kita tak akan kenal pasangan selagi belum tinggal sebumbung. Dah sebumbung baru kita mula berkenalan sebenarnya. Daripada berbau bunga dah jadi bau tahi. Ramai yang bercinta berpuluh-puluh tahun mampu bertahan seketika sahaja bila bernikah kerana kita semua berlakon baik semasa bercinta. Tak kira lelaki atau perempuan. Betul kan. Dah serumah barulah terdedah perangai buruk masing-masing.

Saya ceritakan juga pengalaman saya bercinta dengan abang hanya beberapa bulan. Selepas pertemuan pertama, kami memang ada berhubung melalui telefon beberapa kali. Kalau nak dikira memang tak kenal pun siapa dirinya. Dalam masa yang sama saya dirisik jejaka lain melalui family saya..Saya nekad pada masa itu, solat hajat sudah, istikharah pun sudah. Saya berkeputusan untuk menerima abang. Pertemuan kali kedua kami adalah untuk membincangkan pertunangan. Alhamdulillah bahagia.. Bila kita tidak membelakangkan Allah, Insya Allah selamat hingga ke akhirnya. Kalau terjadi juga perkara tidak diingini, itu pasti ujianNya untuk hambanya untuk mengetahui tahap ketakwaan kita juga tanda kasih sayangnya..

Dalam Islam sendiri, sunat untuk mengenali pasangan kita sebelum bertunang.

Sabda Nabi kepada seorang lelaki yang ingin mengahwini perempuan: "Adakah adakahmu telah melihatnya?". Jawabnya "tidak". Kata Nabi : " Pergilah melihatnya supaya perkahwinan kamu berkekalan".(Riwayat Tirmizi & Nasa'i).

Namun ia tidak bermakna kita bebas bergaul dengan tunangan. Segeralah berkahwin supaya dia halal bagi kita. Inilah tujuan perkehwinan yang sebenarnya..

Berbalik kepada cerita kawan saya tadi. Dia akhirnya berkahwin setelah mendengar nasihat saya. Alhamdulillah kalah jua syaitan terkutuk. Kini sedang berbahagia menunggu kelahiran anak pertamanya setelah gugur beberapa kali sebelum ini.Semoga bahagia ke akhir hayat.

Ada yang tertangguh-tangguh kawin kerana kewangan. Yelah kos orang sekarang kawin kan mahal. Ada mencecah puluhan ribu, malah ada yang sampai ratusan ribu.Mana cekau duit hantaran, nak tempah pelamin lagi, nak sewa khemah lagi, nak tempah katering..Banyak makan belanja tu. Kalau mak bapa berduit ditanggung beres kalau yang tak mampu buat loan la jawabnya. Anak dah lima orang bapa masih tanggung hutang kawin. Alangkah bagusnya duit tu dibuat bayar deposit rumah.

Kepada golongan ini apakata rujuk Jabatan-jabatan Agama Islam di negeri masing-masing. Banyak sponsor untuk pasangan yang tidak mampu berkahwin..Baru semalam 33 pasangan dinikahkan serentak oleh Jabatan Agama Johor.  Jangan malu-malu. Jangan disebabkan nak jaga status dan ego kita terjebak dengan maksiat. Jagalah maruah diri dan agama kita..

Sunday, December 20, 2009

Snail ke Snayo, Flour ke Flower?

Beberapa hari lepas ketika menemani anak-anak bermain kat belakang rumah, tiba-tiba Danish terjerit-jerit memanggil saya "Ummi, look.." dia menunding jari ke arah siput-siput kecil. Tanya saya"what is that?". Balasnya "It's Snail",(sebutannya adalah snayo).  Saya terpinga-pinga, seingat saya sejak-sejak belajar English dari darjah satu hingga keluar universiti siput dipanggil snail..Saya tanya dia "why you called it snayo?". jawabnya "My teacher told me like that"..Iye ke budak Danish ni? Saya rujuk dictionary yang ada audio, abang download ke handphonenya. Saya dengar betul-betul. ulang beberapa kali, jelas saya dah terima ajaran sesat..



siput-siput yang dipanggil snayo

Situasi yang sama berlaku bila saya membeli tepung gandum. Dia menegur saya dalam Bahasa Melayu kali ni (memang tabiat dia campur-campur bahasa bila bercakap kat rmh) "Apa yang Ummi nak buat dengan flour (sebutannya adalah flower - bunga). sekali lagi saya terkeliru..Tanya abang katanya itulah sebutan yang betul. Gamaknya kalau kita ke kedai di Malaysia minta  flour (flower), mesti bunga yang diberi..macam-macam

p/s : * pronounciatinon utk snail (snayo), flour (flower) adalah mengikut accent American, British & Aussie
       * bila nak belajar bahasa asing kita mesti bertutur dengan penuturnya..
       * tq Danish. Banyak saya belajar daripadanya..

 

Thursday, December 17, 2009

Salam Maal Hijrah 1431H




Salam Maal Hijrah, semua..
Sekejap saja kan masa berlalu..pejam celik, pejam celik dah muncul tahun 1431H.Rasanya banyak lagi azam tahun lepas belum tercapai.. jadi tak salah rasanya kita meneruskan azam tahun lepas yang belum terlaksana selagi tidak bertentangan dengan syariat.

Semoga tahun baru memberi seribu erti kepada kita. Azam utama saya macam tahun lepas-lepas juga iaitu untuk menjadi hambaNya yang paling taat dan soleh. Ingin memenuhkan kelompongan dalam hidup dengan amalan mahmudah. Mampukah? Sesamalah kita bersedia untuk menghadapNya walaupun tidak cerap bila masanya, namun yang pasti kita semakin menghampiri titik noktah hidup di dunia. Semoga kita tidak tergolong orang-arang yang rugi. Dunia dan semua isinya hanyalah pinjaman untuk kita. jadi kita harus memulangkan semua pinjaman ini dengan keaadaan seelok-eloknya.

Firman Allah:
Bertanyalah (wahai muhammad): Hak milik siapakah segala yang ada di langit dan di bumi? Katakanlah: (Semuanya itu) adalah milik Allah. Dia telah menetapkan atas diriNya memberi rahmat. Demi sesungguhnya Dia akan menghimpunkan kamu pada hari kiamat yang tidak ada sebarang syak padanya. orang-orang yang merugikan diri sendiri (dengan mensia-siakan pengurniaan Allah), maka mereka (dengan sebab yang tersebut) tidak beriman.


( سورة الأنعام , Al-Anaam, Chapter #6, Verse #12)


Azam saya juga, untuk menjadi isteri yang mampu membanggakan suami..Anak-anak ingin dididik dengan didikan yang paling sempurna. Semoga segala harapan dan iltizam ini terlaksana pada tahun baru ini dan istiqamah untuk tahun tahun berikutnya. Bagaimana anda?

Doa saya, semoga hidup kita terus dalam keadaan hijrah ke arah kebaikan & sentiasa diberkati Allah dunia dan akhirat. Selamat Menyambut Maal Hijrah 1431H!

 

Krismas Oh Krismas

Sebetulnya ni hari terakhir Danish bersekolah untuk term akhir tahun ni..Sekolah akan dibuka semula pertengahan bulan Feb. Semalam sekolahnya menganjurkan Merry Krismas & Happy New Year Party. Dari kecil-kecil lagi mereka didedahkan dengan budaya berparti..siap ada agenda tari menari lagi. Seperti biasa, saya akan memberi cuti kepada Danish.

Hari ini bila dihantar oleh abahnya, Mrs. Beynes, guru kelasnya menjelaskan mujur Danish tak datang sekolah kerana terlalu banyak makanan disediakan parents untuk party berkenaan. Dia pun bimbang kalau-kalau tak terkawal makanan yang dimakan Danish. Mereka sangat peka dengan hak. Jadi mereka bimbang dipersalahkan..

Hampir dua, tiga minggu kebelakangan hampir setiap hari dia membawa balik kad ucapan krismas daripada kawan-kawan sekelasnya. Biasanya turut diberikan candy cane.. yang berbentuk huruf J tu. Boleh tengok kat sini. Apalah yang difaham oleh budak 6 tahun tentang agama, kan. Tiada diskriminasi antara mereka. Bimbang juga dia tertarik dengan budaya mat saleh ni. Dah la dapat kad lawa-lawa kawan pula bercita keseronokan mereka bila menyambut krismas kerana mendapat hadiah idaman. Saya dah jelaskan padanya perbezaan agama dia dan kawan-kawan. Dia sudah dapat terimanya..Alhamdulillah



antara kad diterima Danish..

Kalau nak diikira minggu ni, dah selesai semua proses p&p. Sekolah-sekolah Islam sudah dibenarkan bercuti. Mereka ke sekolah hanya untuk melakukan semua aktiviti berkaitan krismas.Kelmarin pun dia membawa balik buku aktivititi krismas. Huh rimas sungguh dibuatnya. Nak hantar ke sekolah agama pun tak mampu rasanya. Sebab sekolah private, fee pun boleh tahan lumayannya, kena naik bas lagi. Buat masa dua tahun ni sabar saja la..

Meriah sungguh krismas ni. Dari bulan Julai lagi sudah terasa bahangnya bila hampir semua pasaraya mula berlumba-lumba mengadakan krismas sale. Malah ada yang menyediakan khidmat lay by. Iaitu memberi peluang orang ramai memilih hadiah krismas awal-awal dengan hanya membayar deposit 10%.Kemudian mereka hanya perlu ansuran bulanan hingga krismas tiba. Sebelum faham konsep ni, saya dan abang terpinga-pinga bila melihat mereka begitu ghairah sekali memborong kemudiannya meletakkan barang tersebut di kaunter lay by. Mereka hanya dibenarkan mengambil barang setelah habis menjelaskan ansuran.

Kami pun tumpang sekaki mereka bershopping kerana kat sini barang-barang memang murah daripada harga asal. Memang takkan tertipu punya.. Tapi taklah gila-gila macam mereka. poket pun kempis je.. ukur baju dengan badan. Kami juga tertunggu-tunggu boxing day (26 Disember) yang dikatakan harga barang semakin menjunam bila kebanyakan mereka akan akan memulangkan hadiah yang tidak digemari. Pasaraya pula akan menjual semula dengan harga yang murah sangat-sangat. Itulah bestnya kat sini boleh memulangkan semula barang yang dibeli bila-bila masa tanpa apa-apa alasan sekiranya tidak berkenan dengan syarat masih dalam keadaan elok dan masti menyimpan resit belian.

Hmmm bestnya kalau mereka menyambut Aidilfitri & Aidiladha seperti kita..

Wednesday, December 16, 2009

Lelaki Merah Jambu





Saya rasa Malaysia masih lagi heboh dengan cerita Mohd Fadzil Min Bahari yang telah bertukar jantinanya sebagai perempuan, ke UK semata-mata ingin menikahi ‘teman lelakinya’ kerana Negara kita tidak membenarkannya. Yang paling kelakar dia mengaku masih Islam dan sangat terkilan kerana ‘budaya’ Malaysia masih tidak dapat menerima perkahwinan antara makhluk sejenis ini. Huh bila keluar kenyataan sebegini kita boleh membayangkan pegangan imannya..sungguh menyedihkan. Inilah bila iman hanya terletak pada namanya..

Kekadang rasa bingung sangat bila timbul golongan seperti ini, sedangkan Allah telah menetapkan hanya dua jantina dalam dunia. Lelaki dan perempuan, lagikan yang khunsa pun mesti memilih salah satu daripadanya..Macam mana golongan yang dah jelas jantinanya ni boleh terkeliru..

Teringat kawan adik saya ketika di tingkatan enam dia masih maskulin yang berteman wanita lagi,tetapi bila dia berjumpa adik saya kat university, dia sudah bertukar jantina..sangat cantik dengan pakaian perempuannya dan berpayu dara lagi. Pada saya ada juga golongan ini timbul sebab persekitaran mungkin dia memilih kawan yang memang dah terkeliru jantinanya. Ditambah lagi iman di dada pun kurang, semakin subur perasaan tidak puas hati dengan kurniaan Allah..

Ada juga yang terdidik oleh keluarga yang kecewa bila tidak mendapat jantina anak yang diidamkan. Saya juga sebenarnya sangat teruja untuk mendapatkan anak perempuan tapi sehingga kini masih belum termakbul. Mungkin adalah rezeki saya nanti. Saya masih menunggu..saya nak kisahkan kat sini anak anak saya si Danial, 4 tahun ni sebenarnya sangat sukakan barang perempuan.

Pernah dia terpaku bila melihat anak patung yang comel dibawa oleh budak perempuan, pernah menangis tak nak balik bila ke rumah kawan saya yang semua anaknya adalah perempuan semata-mata belum puas bermain-main anak patung..Warna pink pula adalah warna favouritenya dan suka meminta-minta saya pakaikan bedak bila saya memakainya! Saya sendiri tak tahu macam mana dia boleh berkeinginan sedemikian.Sedangkan saya tetap melayan sebagai seorang anak lelaki..

Jadi ibubapa harus memainkan peranan kat sini untuk menyedarkan si anak tentang sifat tabie mereka. Kalau saya ikut kemahuannya mungkin bertambah lagi kroni Mohd Fadzil..Memang agak sukar kerana dia akan menangis bila kehendaknya ditentang tapi itulah cabaran. Alhamdulillah.. ..kini anak saya dah berubah dan terima hakikat dia adalah lelaki! Dia sudah lupa mainan perempuan. Semua barangan pink dan alat make up kini semuanya milik Ummi. Untungnya bila tiada yang nak berebut dengan saya. Hehehe ..

Saya sangat suka baca ayat-ayat ini:

“Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya”.

P/s : syukurlah segala kurniaan Allah..



Monday, December 14, 2009

Nikmatnya Menjadi Seorang Wanita

artikel ni adalah email yang saya terima daripada salah seorang member Mypsa (persatuan Pelajar-pelajar Melayu Western Australia)

Almarhum Sukarno pernah berkata "wanita ibarat pohon karet (pokok getah) " Kata-kata ini membuatkan ramai wanita yang marah. Tidak perlulah dihuraikan apa maknanya kata-kata itu. Maklum sajalah pokok getah waktu mudanya amat berguna dan apabila sudah tua akan dibiarkan atau ditebang saja. Paling tidak pun digunakan untuk membuat perabot.



Rasulullah saw. mengatakan bahawa para isteri yang beriman semasa di syurga nanti akan lebih cantik dari bidadari, maka tidak perlulah khuatir masa itu suami kita akan lebih tertarik pada bidadari atau isterinya sendiri. Macam-macam ungkapan disebut tentang wanita. Namun yang pasti kita adalah makhluk yang perlu sujud pada pencipta Yang Maha Agung, yang diberikan tanggungjawab tersendiri sebagai khalifah di bumiNya ini.


Saat yang paling bahagia bagi seorang wanita dan selalu diceritakan kepada rakan-rakannya ialah :


* saat pertama kali jatuh cinta dan diterima cintanya
* saat orang yang dicinta mengucapkan akad nikah sebagai suami
*saat pertama kali doktor mengesahkan yang ia bakal jadi ibu
* saat doktor menyerahkan bayinya yang baru dilahirkan
* saat anaknya mula pandai melangkah
* saat anaknya mula menyebut 'ibu' atau yang seistilah dengannya
* saat pertama kali membawa anak ke tadika


Semua itu adalah nikmat yang tidak terucap dengan kata-kata.


Saat seterusnya adalah rentetan saat-saat cemas yang saling berganti dengan saat-saat bahagia membesarkan anak. Di sebalik setiap nikmat yang Allah anugerahkan ada tuntutan amanah yang besar untuk dilaksanakan.


•Nikmat bila dicintai adalah upah keatas usaha yang bakal kita lakukan bagi meramaikan ummat.
•Nikmat dimartabatkan sebagai ibu adalah upah disebabkan beratnya tugas mendidik anak yang akan menjadi khalifah penjaga bumi. Kasihnya Allah tidak terhingga, upah diberi sebelum tugas dijalankan. Namun kadang-kadang kita lupa mensyukurinya apalagi untuk menunaikannya secara sempurna. Di masa-masa tertentu kita merosakkan nikmat itu.
•Nikmat memiliki suami kadang-kadang disia-siakan dengan menderhaka padanya.

•Nikmat memilik rumahtangga kita tukarkan ia dari syurga menjadi neraka dunia

•Nikmat menjadi ibu kita ketepikan dengan meletakkan kerjaya lebih utama

•Nikmat memiliki anak cerdik dirosakkan dengan berbangga-bangga pada orang lain


Nikmat kadang-kadang dilambatkan atau tidak diberikan kepada sebahagian wanita kerana Allah tahu wanita itu mungkin tidak sanggup menggalas amanat dihadapannya nanti atau ada nikmat lain yang disimpan untuknya yang akan diberikan dikemudian kelak.


Kebahagian itu adalah nikmat. Keperitan pula adalah nikmat yang ditangguhkan. Tidak ramai orang mensyukuri nikmat memiliki suami apabila suami yang dimiliki bukan impian dihati. Sedangkan Allah tidak pernah menyatakan bahawa pahala melayan suami yang kacak dan tidak kacak adalah berbeza banyaknya. Walaupun syurga isteri bukan terletak di tapak kaki suami, namun redha suami adalah nikmat yang sangat besar kerana ganjaran pahala yang dianugerahkan Allah tidak ternilai harganya.


Redha Allah pada si isteri bergantung pada redha yang diberikan suami. Wanita yang derhaka pada suami tidak akan mencium bau syurga. Allah tidak menghukum seberat itu kalau bukan kerana ada sesuatu yang penting berhubung dengan kesetiaan isteri pada suami.


Walaupun wanita bersifat lemah, namun dia boleh menjadi penghancur atau pembina kejayaan seorang lelaki. Nikmat hanya akan berharga apabila ia hilang dari kita.


p/s: saya tak tahu dah berapa kali saya baca email ni..ia benar-benar menyentuh hati wanita saya. Syukur sangat-sangat kerana telah terpilih oleh Allah untuk bergelar sebagai isteri dan ibu. Ya Allah janganlah engkau jadikan aku hamba yang kufur nikmatMu.

 

Saturday, December 12, 2009

Selamat Hari Lahir Danish

Hari ni, 12 Disember adalah birthday Danish yang keenam.. Rasa cam baru lagi ummi bertarung nyawa melahirkan abelong ni. Danish sebenarnya bukanlah anak sulung yang lahir dalam keluarga saya. Dia adalah anak kedua saya setelah kakak sulungnya meninggal dunia ketika saya lahirkannya. Nantilah jika berkesempatan dientry akan datang.




homemade cake birthday by ummi..hiasan tu beli kat kedai je..


psp a dreamed gift from abah..
Danish dilahirkan 3 minggu lebih awal daripada due date yang sepatutnya pada 4 January 2004. Pada minggu ke35 kandungan, saya telah membuat scan di sebuah hospital swasta di Kota Bharu, didapati air ketuban kering. Dua minggu kemudian, semakin kurang. Saya menjadi bimbang kalau-kalau sejarah kelahiran sulung berulang, dengan nasihat doctor, saya membuat keputusan untuk bersalin secara induce walaupun belum ada sebarang contraction. Tapi tidak berkesan agaknya ubat diberikan doctor itu menyebabkan dia tidak keluar walaupun saya habis tenaga untuk menerannya. Alhamdulillah akhirnya saya selamat melahirkannya secara cesaerian.

Danish adalah anak yang senang dijaga kerana tidak pernah ada masalah kesihatan kalau ada pun setakat demam sikit-sikit sahaja. Harapan ummi dan abah agar Danish terus sihat selamanya dan menjadi anak yang berguna serta bahagia hidup dunia dan akhirat. We luv u,Danish..



Thursday, December 10, 2009

Apa Ada Pada Nama





Teringat zaman sekolah dulu saya sangat tidak suka dengan nama saya ‘Hamizah’. Bukan apa selalu sangat diejek-ejek oleh kawan-kawan lelaki sebagai ‘Hamzah’. Selalu sangat berangan alangkah baiknya kalau nama saya Emmy, atau Sally, atau Erni atau Rosmawati, atau Rose..


Saya tanya mak kenapa saya diberikan nama Hamizah? Mak cakap dia rancang untuk menamakan saya Nor Azila. Tapi ayah berkenan dengan nama anak Tok Guru yang ajar mengaji kat kampung saya yang juga bernama Hamizah. Jadi masa mendaftarkan kelahiran saya, ayah menamakan saya sebegitu. Sejak-sejak dengar cerita mak, saya mula menggambarkan diri saya sebagai Nor Azila..mmm biasa la kan, dunia kanak-kanak memang penuh dengan imaginasi..

Saya mula faham maksud nama saya ketika kakak saya membeli buku-buku nama Islam untuk anaknya. Sangat indah rupanya maksud nama Hamizah iaitu, riang, gembira dan bijaksana. Mulai hari tu saya sangat berterima kasih kepada ayah kerana memberikan nama yang terindah ini untuk saya..

Untuk anak-anak, saya tidak pernah menyediakan satu nama yang khusus bagi seperti kebanyakan orang yang sejak dalam kandungan anak-anak dah ada namanya kan. Nama anak saya ringkas sahaja yang sulung, Muhammad Danish (maksudnya bijak), yang kedua Muhammad Danial (nama salah seorang nabi, ada juga yang berpendapat nama lain bagi Nabi Daud). Bagi saya, cukuplah sebuah nama yang simple tapi memberikan makna yang besar.


berilah nama yang terbaik untuk anak..

Menurut Islam sendiri pun, bukanlah wajib memberi nama yang baik kepada anak tetapi perlu juga berhati-hati dalam memberi nama anak kerana nama-nama yang tidak baik maksudnya mungkin meninggalkan kesan buruk kepada mereka kerana nama adalah pengenalan dan identity kita sebagai seorang muslim. Rasulullah pernah bersabda:

"Sesungguhnya kamu akan diseru pada hari qiamat dengan nama-nama kamu, dan nama-nama bapa kamu, maka perindahkanlah nama-nama kamu itu
(Riwayat Abu Daud)

Dalam menamakan anak ini syarak telah menetapkan beberapa panduan untuk memilih nama anak sebagai berikut:

* Hendaklah nama yang dipilih itu memberi pengertian dan maksud yang baik. Sehubungan dengan itu kita dilarang untuk menamakan anak-anak kita dengan nama yang buruk yang boleh menjejaskan kehormatan dan mungkin menjadi sendaan dan memalukan anak tersebut.

* Jangan namakan anak dengan nama-nama yang khusus kepada nama Allah seperti Ahad, Ar-Rahman, AL-Khalid dan sebagainya. Sekiranya nama ini hendak diberikan kepada anak kita maka hendaklah disertai dengan nama lain di hadapannya seperti Abdul Rahman, Abdul Khalid dan sebagainya.

* Jangan menggunakan nama yang dikaitkan dengan Abdul (hamba kepada lain dari Allah seperti Abdul Uzza (hamba berhala Uzza), Abdul Nabi (hamba kepada nabi) dan sebagainya.Ulama bersepakat mengatakan bahawa menamakan sedemikian adalah haram.

* Elakkan dari menamakan anak dengan nama-nama orang kafir atau nama-nama yang menyerupai nama bukan Islam seperti Jon, Sally, sebagainya.

Semoga panduan ni membantu kita semua memilih nama terbaik untuk anak..





Tuesday, December 8, 2009

Masaklah Untuk Suami & Anak-anak

Kalutnya seorang kawan saya bila ibu dan bapa mertuanya nak berkunjung. Yang paling dibimbangnya apa yang nak dimasak untuk dihidangkan untuk mertua..macamana pembaca blog ni? Suka masak tak?


Bagi saya memasak adalah hobi no wahid. Sebenarnya kegemaran ni datang setelah berkahwin. Abang seorang yang cerewet dalam bab makan. Sebelum bertukar profesion sebagai lecturer, dia adalah auditor. Pulang ke rumah paling awal pukul 9 malam kadang pukul 2 pagi baru boleh tengok mukanya. Itupun dalam keadaan saya yang mamai.. huhuhu..Dia pulang biasanya dalam keadaan lapar sebab dia hanya akan makan tengahari kat ofis dan sanggup berlapar untuk makan di rumah!

Mula-mula rasa kekok juga bila hari-hari kena masak. Tapi yelah alah bisa tegal biasa, kan. Penat macam mana pun mesti masak walaupun hanya nasi putih diregukan dengan sejenis sayur dan lauk. Kami hanya akan makan kat luar bila tak sempat makan kat rumah. Atau sesekali sekala ke pasar malam. Itupun hanya satu menu kegemaran kami satu family sewaktu berada kat Setiu, Terengganu iaitu nasi air/ bubur nasi. Sampaikan penjualnya dah kenal kami..

Justeru bila datang ke Perth ni taklah panik sangat sebab dah ada sikit-sikit skill, cuma mantapkan sedikit sebanyak yang telah ada. Ruginya, kan kalau tak masak..sekurang-kurang kita dah buat sesuatu yang menyenangkan hati suami. Puas bila tengok suami dan anak-anak berselera makan hasil air tangan sendiri. Walaupun begitu kadang bimbang juga sebab selera saya pun bertambah bila makan beramai-ramai..hehehe

Selamat memasak semua..

Friday, December 4, 2009

Memaksa dan Terpaksa

Peperiksaan SPM masih lagi berjalan hingga peretengahan bulan Disember ni. Debaran pasti merajai perasaan bagi yang menghadapinya. Selesai menjawab belum pasti hilang debaran..berdag dig dug lagi menantikan keputusannya pula.


Itulah yang pernah saya hadapi 14 tahun lampau. Study bermati-matian kerana matlamatnya masuk university selepas SPM. Terlalu boring untuk ke sekolah. Macam-macam kerja rumah dibekalkan guru. Saya ni memang tak suka buat kerja sekolah. Saya suka study ikut mood. Tak payah buat jadual sebab saya pasti mengenepikannya. Jadi bila ada kerja sekolah, saya rasa mood belajar terganggu. Ikhlas saya akui saya jarang menyiapkannya. Macam-macam alasan saya berikan kalau ditanya guru. Nakalnya saya masa tu! Tapi Alhamdulillah saya antara top 5 student masa tu..itu yang cikgu tak tergamak nak marah kot..hehehe

Sebenarnya masa belajar kat sekolah menengah zaman yang paling boring dalam hidup, kerana ketiga-tiga kakak saya sudah menjejakkan kaki ke university (saya anak yang keempat dan jarak antara kakak ketiga 5 tahun). Jadi harapan keluarga tertumpu kepada saya. Apatah saya masih ada 5 adik. Saya inarat anak sulung mak selepas kakak masuk university. Pernah saya mendapat nombor corot ketika form 2.. semuanya beri nasihat supaya baiki prestasi. Tapi bagi remaja seperti saya, itu semua nasihat adalah leteran yang sangat membebankan jiwa. Untuk memenuhi kepuasan semua orang sangat susah, walaupun sedar itu semua untuk kebaikan saya sendiri.

Itu masyarakat Malaysia kini sangat obsess untuk melihat anak-anak berjaya dalam peperiksaan. Bilangan A yang banyak menjadi kegilaan ibu bapa. Sehingga anak-anak sudah hilang zaman bermainnya. Semua perbuatan yang dillakukan adalah untuk kecemerlangan akademik.. Ah, gila betul.Kadang-kadang agama pun disisihkan. Tak solat, tak sembahyang, tak puasa tak apa asalkan pencapaian akademik bagus. Akhirnya anak dah jadi robot bernyawa..tak tahu menilai baik dan buruk.

Sekarang ni, anak-anak ada yang sudah dihantar pelbagai tuisyen atau kelas sejak umur 5 tahun hingga ke malam oleh ibu bapa. Ditambah lagi kelas tambahan yang dianjurkan pihak sekolah bila mula bersekolah. Kasihan mereka. Mungkin mereka seperti yang saya alami dahulu. Tapi saya alaminya ketika usia sudah menginjak belasan tahun.

Bertambah parah apabila mereka di paksa pula selepas PMR untuk memilih opsyen yang mereka tidak gemari kerana dasar kerajaan 60-40, iaitu pelajar yang mendapat keputusan PMR sekurang-kurangnya C untuk mata pelajaran Sains dan Mate wajib mengikuti aliran Sains. Bayangkan dengan result yang ‘cukup-cukup makan’ mereka terpaksa memikul beban yang sememangnya tak tergalas. Tak hairanlah sekolah adalah tampat yang sangat mengerunkan bagi mereka. Jangan salahkan mereka jika tidak sukakan sekolah.

Teringat pengalaman mengajar di dua buah negeri iaitu Johor dan Terengganu .. pelajar Johor, bila dinasihat supaya rajin-rajin belajar mereka memberi alasan kilang-kilang yang banyak menyebabkan mereka teruja untuk tidak meneruskan pelajaran. Pelajar kat Terengganu pula dah membayangkan mereka akan jadi nelayan bila tamat belajar nanti. Alangkah bertuahnya kalau pelajar ni diberi kemahiran untuk menjadi juruteknik kilang daripada operator kilang atau mengusahakan kilang sendiri, atau dilatih untuk menjadi nelayan yang berkemahiran tinggi di laut dalam bukannya menjadi kuli bangsa lain.

Saya dan abang memang sepakat anak-anak mesti diberi ruang untuk berseronok. Saya tak akan marah kalau si Danish nak main dengan adiknya atau kawan-kawan. Biarlah dia merasai zaman kanak-kanaknya sepuasnya. Tapi tetap dipantau supaya tidak melampaui had. Saya tak pernah memaksanya membaca buku, tapi bacakan untuknya. Belikannya buku dari kecil supaya dia terbiasa dengan budaya membaca. Dengan latihan kat rumah dan asuhan kat sekolah, dia mampu merutinkan diri. Namun kalau dia enggan solat atau baca al-Quran ada hukumannya..Alhamdulillah dia mula menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.

Mula-mula sampai kat sini, saya pelik sebab tak pernah diberikan kerja rumah oleh guru. Bimbang juga kalau-kalau dia tak faham apa yang diperkatakan guru kerana dia bukannya faham sangat English. Tanya juga kawan-kawan lain, rupa-rupanya anak mereka pun sama. Sungguhpun begitu, setiap hari dia akan bawa balik kerja-kerja yang dihasilkan disekolah. Bukan setakat tulisan malahan pelbagai kraftangan dan lukisan..sampaikan sekarang dah berkotak-kotak hasil kerjanya. Ada sesetengahnya saya telah buang kerana tak muat ruangan untuk menyimpannya.

System pendidikannya memang tidak menekankan pelajar. Tiada peperiksaan, tiada ujian. Namun mereka tetap berjaya. Mereka diberi pilihan seluas-luasnya untuk memilih berdasarkan kebolehan bila memasuki year 11.. Peperiksaan hanya diadakan untuk pelajar yang memilih untuk menyambung pelajaran selepas tamat year 12..alangkah bahagianya mereka..walaupun tak ramai yang memilih untuk menyambung pelajaran ke university, mereka berjaya berdikari mengendalikan hidup mereka tanpa mengharapkan peluang kerja daripada kerajaan atau swasta. Ramai juga yang tidak berjaya, mungkin tidak ada nilai-nilai agama dan moral dalam pembelajaran mereka..

Alangkah manisnya jika kita mempraktiskan pendidikan mereka, diserikan nilai agama mulia kita, Islam..bilakah akan jadi kenyataan?..

p/s : Saya bukanlah pengkritik kerajaan, tapi sebagai pendidik saya sangat bersimpati dengan nasib anak bangsa.



Tuesday, December 1, 2009

Budaya Membaca di Bumi Kanggaroo

Ya Allah malasnya nak berblog sejak-sejak tak boleh nak upload gambar kat blog ni..Namun bila ada juga berkunjung setelah hampir seminggu tak update blog, kesian juga org..asyik-asyik tengok entry yang dah lapuk ni.. so saya gagahkan diri untuk entry berikutnya, budaya membaca mat saleh kat negeri kangaroo..

Kalau sebelum ni macam-macam statistic dah keluar kat akhbar menunjukkan orng kita malas membaca. Tapi hati saya tetap mengatakan orang kita rajin membaca..kerana saya rasakan saya sendiri adalah orang yang rajin membaca. Setiap hari, masa kat Malaysia saya memang akan melanggan surat khabar kat koperasi sekolah dan saya akan pastikan saya akan baca hampir semua isi kandungannya KECUALI segmen sukan. Saya memang tak minat dengan sukan Malaysia walaupun saya suka melakukan exercise hampir setiap hari!

Itu cerita surat khabar, setiap minggu pula saya akan beli lagi majalah Mingguan Wanita atau Harmoni untuk tambah bahan bacaan. Kadang-kadang ke kedai buku untuk beli buku-buku ilmiah tak kira buku agama atau novel atau apa2 buku yang menarik perhatian saya.Atau pun pinjam sahaja buku-buku atau majalah daripada kawan-kawan.

Kat sini pula, dua kali seminggu, ada surat khabar komuniti, diedarkan secara percuma..saya akan baca sepenuhnya untuk baiki English skill. Kadang-kadang ke garaj sale atau swap market, atau kedai barang terpakai untuk dapatkan buku-buku second hand..Paling tidak merayap dari blog ke blog untuk cari bahan bacaan.So saya memang bermati-matian menafikan orang kita malas membaca..

Tapi bila sampai kat sini, akhirnya surrender,angkat kaki dan tangan..memang kita kalah dengan mat saleh. Diorang memang rajin membaca.Library kat sini memang hidup, setiap masa ada orang. Pernah saya ke library ketika library mengadakan sale buku-buku yang nak dilupuskan. buku-buku dijual mmemang murah. banyak juga yang menarik hati saya tapi memandangkan untuk membayar, terpaksa beratur hampir 500 meter, saya mengalah..Kagum saya dengan kesungguhan mereka walaupun ada yang datng dengan anak kecil. mereka sanggup besesak-sesak hanya kerana beberapa buah buku.

Tertanya-tanya juga kenapa la diorang ni suka membaca? Saya perhatikan tabiat mereka, sejak dari kecil lagi memang dilatih dengan budaya membaca. Bermula dari rumah seusai dari kecil, telah dibacakan buku oleh ibu bapa sebelum tidur.Bila masuk sekolah, dari pre-primary, mereka telah melatih kanak-kanak ni meminjam buku setiap minggu. Kalau si Danish setiap hari Rabu adalah hari dia dan kawan-kawan sekelasnya ke library..minggu berikutnya, hantar buku dipinjam. Sejak dia mula dapat mengingat hari sendiri saya dan abang tak perlu mengingatkannya..dengan sendiri dia akan ambil beg buku untuk hantar dan pinjam buku baru. Bila balik je dari sekolah, tak sabar-sabar nak tunjukkan saya buku tersebut. Saya akan bacakan buku untuknya! Walaupun penat dia tak merungut.. malah sanggup habiskan buku dulu sebelum makan. Begitulah exitednya dia dengan buku-buku. Hinggakan semua buku nak dibaca. Sekarang dah tau baca sendiri, senang la kerja ummi..

Saya sendiri teruja melihat perkembangannya, kalau dulu memang banyak dalihnya bila disuruh baca buku. Dengan budaya ni juga, dia sudah pandai membaca dengan lancar, walaupun baru 6bulan belajar kat sini! Di samping itu juga, sejak masuk term baru,bulan Oktober lepas, sekolah mula membekalkan anak-anak dengan sebuah buku sehari. Tugas ibu bapa, ajarkan mereka. Disediakan juga sebuah fail untuk disain sebagai bukti buku tersebut dah dibaca.. so sekolah dan Ibu bapa sama-sama terlibat dalam pendidikan. Saya percaya semua kanak-kanak yang bersekolah, memang tidak ada masalah buta huruf. Berbeza dengan Malaysia, sampai form 5 masih ada sekurang-kurangnya sepuluh orang pelajar yang tak tahu membaca.. sedihnya bila terkenang nasib bangsaku..bila nak berubah..