Oleh AMIN AHMAD
Dipetik drp mStar OnlineDARI semasa ke semasa, saya sering mendengar pandangan orang ramai bahawa cuaca semakin panas di Malaysia. Tetapi, saya jarang mendengar orang membincangkan isu alam sekitar secara serius.
Pada awal Ramadan ini, saya sempat mengikuti Simposium Kepimpinan Pemapanan Alam Sekitar yang dianjurkan oleh rakan-rakan di Malaysian Youth Climate Justice Network (mycjn.org).
Program ini disertai kira-kira 30 anak muda pelbagai bangsa yang bertujuan memberi kesedaran dan kepimpinan untuk menjadi katalis kepada perjuangan membela alam sekitar di Malaysia.
dalam Simposium ini, kami dimaklumkan berkenaan Agenda Copenhagen-15 di mana para pejuang alam sekitar akan melobi perwakilan di Bangsa Bersatu berkaitan isu Perubahan Iklim.
Pejuang alam sekitar ini telah memulakan kempen 350 ppm (350.org) di mana angka kempen ini merujuk kepada pendapat saintis bahawa 350 ppm adalah kadar selamat jumlah karbon dioksida di atmosfera.
Perwakilan Bangsa-bangsa Bersatu akan bersidang di Denmark berkaitan perjanjian pengeluaran tebangan di mana perjanjian selama ini telah melangkau paras 350 ppm.
Mengambil kira pandangan ramai bahawa cuaca semakin panas, saya berpendapat ia penting untuk media memainkan peranan memberi kesedaran kepada orang-ramai tentang peranan yang mereka boleh mainkan.
Kata orang tua-tua “sikit-sikit, lama-lama jadi bukit”. Jika kita bersama-sama mengusahakan penambahbaikan kepada usaha menangani masalah perubahan iklim ini, ia berpeluang menjadi lebih baik. Jika kita bersama-sama mengambil sikap tidak kisah, lama kelamaan ia akan memberi kesan kepada kita sendiri.
Apa itu masalah perubahan iklim?
Perubahan iklim berlaku apabila gas rumah hijau dilepaskan ke atmosfera dan gas utama yang dilepaskan ialah karbon dioksida, metana dan nitrogen oksida.
Gas-gas ini berfungsi menyerap radiasi solar dan menyebabkan bumi kian panas.
Aktiviti melepaskan gas-gas ini ke udara ini berlakun di sekeliling kita apabila kita membuka lampu, memasak, menggunakan pemanas dan pendingin hawa.
Apabila kegiatan ini meningkat keterlaluan, ia boleh mengancam manusia itu sendiri tanpa mengira siapa.
Sebab itu rungutan cuaca semakin panas ini kian kedengaran.
Manusia tidak akan bermasalah secara mengejut apabila suhu di atmosfera meningkat melebihi 350 ppm.
Tetapi, ia boleh mengancam manusia pada jangka masa yang panjang. Mengikut unjuran, cuaca dunia meningkat 0.7 darjah celcius sejak abad ke-19 di mana pada tahun 2100, peningkatan boleh menjangkau sebanyak tambahan 1.8 darjah celcius kepada 4 darjah celcius sekiranya tidak ada tindakan-tindakan penting diambil.
Perubahan iklim yang melampau lambat laun mengancam manusia kerana akses kepada makanan, air dan tanah akan menjadi terhad.
Negara-negara yang bergantung tinggi kepada sektor pertanian lebih terancam kerana perubahan cuaca, hujan dan banjir. Kualiti air dan makanan juga akan berbeza.
Dari 1970-an sehingga tahun 2005, data di UNICEF menunjukkan peningkatan sebanyak 70% dan 1998 direkodkan sebagai tahun paling panas di dunia sejak ia mula direkodkan pada 1850.
Ironinya, kesedaran global terhadap perjuangan membela alam sekitar telah bermula secara besar-besaran selepas Sidang Bangsa Bersatu di Stockholm pada tahun 1972, 10 tahun selepas Rachael Carson menulis Silent Spring, buku yang menginspirasikan pergerakan alam sekitar.
Sejarah perjuangan alam sekitar walau bagaimanapun telah bermula lebih awal dan antara yang dapat dikesan ialah pembukaan Taman Negara Hot Springs di Amerika Syarikat pada 1832 dengan tokoh-tokoh penting yang memainkan peranan ialah Henry David Thoreau, John Muir dan George Perkins Marsh.
Saya memuji kesedaran ramai anak muda yang hadir dalam Simposium tersebut. Kebanyakan mereka masih belasan tahun dan awal 20-an.
Mendengarkan nyanyian lagu-lagu bertemakan alam sekitar oleh saudara Jes Ibrahim, ia membuatkan saya gembira kerana anak muda Malaysia belum gersang idealism dan kaedah perjuangan mereka.
Jes, anak muda yang pernah mewakili Malaysia dalam TUNZA 2007 telah menerbitkan EP-nya dan lagu-lagunya cukup menghiburkan sambil memuatkan mesej pembelaan terhadap alam sekitar.
Thoreau juga menggunakan medium seni dalam mengungkap kesedaran ramai terhadap isu alam sekitar.
Tulisannya, Walden; or, Life in The Woods mengkisahkan perihal haiwan liar.
John Muir menubuhkan Kelab Sierra, salah satu organisasi terbesar di Amerika yang memperjuangkan konservarsi. Rachael Carson pula menulis Silent Spring secara saintifik untuk menunjukkan kesan bahan kimia kepada alam sekitar.
Selepas Carson, puluhan lagi dapatan saintifik mula dibuat berhubung dengan situasi alam sekitar.
Kesan daripada usaha-usaha pejuang alam sekitar ini, selain daripada Sidang Bangsa Bersatu di Stockholm pada 1972, juga menyebabkan Club of Rome yang menghimpunkan para saintis dan pemimpin politik menerbitkan The Limits of Growth pada tahun yang sama.
Namun, ada sesuatu yang cuba saya bawakan semasa berbual dengan para peserta Simposium berkenaan pada masa lapang.
Ia berkaitan unjuran minyak yang diramal habis pada 1980-an tetapi masih kekal hingga ke hari ini.
Juga berkaitan dimensi ekonomi yang sering diabaikan malah dipersalahkan oleh pejuang alam sekitar sedangkan hakikat bagi mereka yang miskin tidak mampu membeli produk mesra alam.
Hakikatnya, jika diberi 10 keutamaan kepada masyarakat, mereka akan mengundi keutamaan ekonomi melebihi keutamaan alam sekitar.
Saya tidak memaksudkan kita mesti memilih salah satu, tetapi kita mesti mendatangkan alternatif yang lebih baik untuk menangangi pelbagai persoalan dunia yang datang hampir serentak kini.
Saya fikir, dengan kerajaan mewujudkan agenda Teknologi Hijau, kita boleh mengusahakan sesuatu yang lebih baik untuk masa depan bumi dan kita!
Kadangkala sayu memikirkan persoalan alam sekitar kita saat tuntutan hidup terlalu banyak. Namun, saya yakin tiap dari kita boleh memulakan sesuatu – sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit!
AMIN AHMAD ialah mantan Presiden Persatuan Mahasiswa Fakulti Perhutanan (Permai Hutan) dan beliau pernah mengetuai jurulatih bagi Kem Alam Sekitar Kebangsaan 2007 serta alumni Outward Bound School (OBS) yang mengajak manusia belajar memperbaiki diri melalui interaksinya dengan alam.
0 comments:
Post a Comment