Sunday, August 29, 2010

Hadiah Hari Bapa

5 Sept adalah Father's Day bagi Oz

Saya tak pernah sambut hari bapa walaupun anak dah menginjak tujuh tahun. Mother's Day pun sama.Kiranya adillah..Cuma sejak Danish bersekolah kat sini tahun lepas dia pernah buatkan kad, cikgu yang tolong poskan.

Tapi semalam, semasa kami sekeluarga merayau kat shopping complex macam-macam promosi untuk bapa. Tiba-tiba saya jadi teruja.

Diam-diam saya belikan wallet untuk suami. Murah je tak sampai $50 pun (duit sendiri ni- upah ajar ngaji budak-budak kat sini).Brand ok juga.
"Happy Fathers's Day" ucap saya kepada suami. Dia macam tercengang. Yelah tak pernah dapat hadiah sempena hari bapa, lagipun seminggu lagi tarikhnya.Saya yang tak sabar nak kasinya hadiah

Katanya" Apasal susah-susah belikan abang wallet?". "Aik,Tak suka ke?" tanya saya.Saya belikan dia wallet sebab memang dia jenis tak kisah bab penampilan.Kalau saya tak belikan memang tak bertukat lah.Percaya tak wallet yang dia pakai sekarang adalah hantaran kawin hampir 9 tahun lepas?Alahai lakiku..

"Ada baiknya sayang beri je duit tu untuk abang beli game PS3 yang dah lama dok aim" balasnya.Geram pun ada mendengar jawapannya.Nak beli yang tu pakai la duit sendiri. Saya beli ni yang dia tak mampu beli.Hehehe..

Tapi saya tau dia sangat terharu dengan pemberian saya. Sampai ke rumah terus dia menyalin isi wallet lamanya ke wallet baru." Tq, sayang" katanya..

"Welcome, bapa kepada anak-anakku..".




Thursday, August 26, 2010

Sapa Kata Raya di Perantauan Tak Meriah

Lepas solat isya' dan terawih kami anak beranak main bunga api.
Bunga api tu ada kawan yang kasi.
Kalau malam ni start main sempat la sampai raya kot stocknya.
Danish langsung tak nak join.
Main PSP game transformer yang baru dibeli petang tadi.
Dia ni memang tak suka outdoor activity.
Danial pula takut nak pegang.
Tapi tumpang excited juga.
Sambil jerit-jerit 'api magic'.
So apa lagi bila anak-anak dah bagi chance,
naik tocang la mak bapak..
Lebih-lebih pula.
Kalau ada buluh mesti lagi best..
Biar berdentum dentam bumi Perth ni dengan meriam buluh kami.
Hehehe..tapi mesti raya kat lock-up

Danial tengok dari jauh je..
mak sapa la nie..

gaya student PhD main bunga api

Ha! Sapa kata raya di perantauan tak meriah, kan
(nak ubat hati je ni. Sob, sob sob).
Kesayuan makin terasa.
Mujur semua kawan tak balik tahun ni.

 

Finale ~ Tsunami Spelling Competition


tengok lambang sekolah Danish, Poseidon (tuhan laut)


bersama medal..

Semalam saya ke sekolah Danish menyaksikan peringkat akhir Tsunami Spelling Competition.
Empat orang finalis kesemuanya.
Sedikit kecewa bila Danish yang terawal tersingkir.
Pertandingannya berdasarkan elemination..
Aduyai..kesian Danish.
Dua-dua coach kat rumah lebih fokuskan perkataan yang susah.  
Perkataan yang dia salah eja ialah "will".
Dia eja "while".
"I don't know how to spell will".
Mukanya tak ceria bila kalah..
Ummi & abah pun kecewa juga.
Dah dapat ke final pun dah syukur.
Alhamdulillah.
Takpe la Danish.
Cuba lagi next year.
Ada juga kenangan bila diberi medal untuk finalis.
Pemenangnya budak autisme.
Tak aci jugalah kiranya.
Sebab orang autisme memang kuat daya ingatannya.
Malah ada orang autisme yang mampu mengingat dua halaman kandungan buku sekelip mata.


Tuesday, August 24, 2010

Dog Vs Cat

google..

Susah hati betul sejak-sejak dok kat sini.
Dua hero kecik ni selalu merengek-rengek nak bela anjing.
Hari-hari dok tengok anjing exercise dengan tuannya.
Weekend anjing makan angin sambil-sambil naik kereta pula.
Mana tak geramnya budak-budak.
Comel-comel pulak tu.
Hish maknya pun teruja.
tapi kita yang mengamal mazhab Syafei memang tak boleh kan?
Pujuk punya pujuk boleh diorang terima.
Hanya kucing je yang boleh bela.
Syaratnya bila balik Malaysia.
Sebab kat sini banyak akta untuk kucing.
Pening kepala nak ikut. 
Nak bela kucing kena dapatkan permit.
Mesti diikatkan tali, macam anjing.
Mesti dikasi sebelum bela.
Tak boleh mengandung & tak boleh mengandungkan kucing lain..
Tidak dibenarkan memasuki rumah jiran.
Huh macam-macam perkara nak kena fikir,
Baik tak payah..
Tunggu je balik Malaysia ye nak-anak.. 

.

Monday, August 23, 2010

Ayam Percik Ala Mak Mentua Saya

Semalam (selalu sangat hidang cerita dah basi, kan) saya jemput dua family rakan suami kat uni berbuka puasa kat rumah.Ni style majlis buka puasa tahun ni..sekali jemput satu atau dua family sahaja.Tahun lepas bila jemput beramai-ramai, saya tak sempat nak melayan.Ye lah, selera orang puasa macam-macam.Ada yang tak minum susu, ada yang nak susu, ada tak makan ikan, ada yang tak makan ayam.Macam-macam kerenah.Tuan rumah sampai tak sempat makan nasi masa berbuka..Lepas Isyak baru boleh jamah nasi.Kebulur la perut Melayu saya.hehehe..Tahun ni, boleh la makan dengan nyaman bersama-sama tamu..Alahai..


Menu kami: nasi putih,sup ekor, ayam percik, sayur campur goreng, ulam-ulam dan cencalok (suami saya orang Klate tapi lebih suka cencalok daripada budu, pelik juga kan?).Kuih pula, puteri mandi.Berselera semua tamu saya makan.Alhamdulillah.Menu-menu selain ayam percik tu, saya warisi daripada mak saya (Rindunya masakan mak yang kini sedang mengerjakan umrah selam sebulan kat Mekah).Sejak-sejak kawin saya belajar resepi ayam percik daripada mak mentua saya yang pernah menjualnya kat pasar Ramadhan.Memang sedap.Saya memang bertuah sebab mak dan mertua, dua-duanya pandai masak..
best sangat !!


AYAM PERCIK ALA MAK MENTUA SAYA
bahan perap ayam
1 ekor ayam
3 batang serai
2 inci halia
1 labu bawang putih
2 sudu besar jintan manis
Garam

Cara:
Blend semua bahan, perap ayam selama 2-3 jam.

bahan percik
10 biji cili kering
5 ulas bawang merah
1 inci halia
1 cawan santan cair
2 cawan santan pekat
garam dan gula secukup rasa (lebihkan rasa manis)

Cara:
1.Masak semua bahan kat atas dapur dengan api sederhana, kacau selalu supaya tak pecah minyak sehingga kuah pekat.
2. Bakar ayam, renjis-renjiskan kuah percik sehingga habis.
*resepi ni kering, sebab kesemua kuah percik direnjis pada ayam
* pastikan ayam betul-betul garing baru sedap..
*memang tak basi tanpa simpan kat peti ais hingga 2-3 hari
3. Sedia untuk dimakan dengan apa cara, mengikut selera masing-masing..Yummmy!

P/S: sesiapa nak amik resepi ni dipersilakan, tetapi dilarang sama sekali menerbitkan dalam apa jua bentuk di mana-mana media tanpa kebenaran penulis


  

Sunday, August 22, 2010

Tsunami Spelling Competition



Rabu ni hari yang sangat dinanti-nanti oleh family saya sebab Danish berjaya menjadi finalis Tsunami Spelling Competition.

Selepas menewaskan rakan-rakan mat saleh sekelasnya.

Saya tak pasti pula berapa orang yang layak ke final.

Markah diperingkat saringan yang berjaya dikumpul Danish adalah 19/20.

Sekiranya dia berjaya kali ni dia akan mewakili sekolahnya untuk peringkat seterusnya..

Bangganya ummi.Danish boleh!









Friday, August 20, 2010

Dah Niat ke?

Teringat pada malam pertama bersahur, seorang kawan  update statusnya kat FB supaya lafaz niat takut kalau-kalau tak terbangun sahur.Eh! kalau tak terbangun sahur ada tak kita niat tak nak puasa?

Bukan puasa saja solat pun sama juga..macam-macam cara takbiratul ihram boleh dilihat sampai ada yang terpejam-pejam mata, ada yang terpaksa ulang berkali-kali kerana nak menyeimbangkan antara lafaz niat dengan takbir.. Kesiannya, masa nilah syaitan datang cucuk jarum supaya kita was-was.Kerana nak menyempurnakan lafaz niat iman tergadai.

Lain pula ceritanya dengan student perempuan saya yang dihantar mengikuti kem motivasi untuk pelajar bermasalah bila diminta baca niat mandi wajib dia lafaz " Sahaja aku mandi wajib dua rakaat kerana Allah Taala". Yang ini lagi kelakar..

Macam-macam cerita terkeluar bila topik niat di bincangkan.Mungkin sekarang ramai dah faham apa sebenarnya niat.Niat adalah apa yang terlintas di hati tanpa perlu apa-apa lafaz.Tak kira lafaz Melayu atau Arab.Contohnya nak puasa cukuplah terdetik di hati, "aku nak puasa esok".Tak perlu lafaz Ramadhan, sebab yang tersiratnya memang dah di bulan Ramadhan..Tak perlu lafaz Allah sebab semua ibadat kerana Allah semata-mata, kan..Sebab tu saya kalau mengajar kat sekolah, saya tak minta pelajar hafaz lafaz niat.Kalau ajar kelas yang nakal sikit lagi la susah dia nak mengamalkannya.Usah cakap Arab, cakap Melayu pun belum tentu faham.

Islam itu mudah kan..



Sunday, August 15, 2010

Jalan-jalan Hujung Minggu~Girraween Swap Market

Semalam sambil-sambil mencari barang dapur, kami menyinggah Girraween Swap Market. Pasar tempat jual barang-barang 2nd hand.Macam-macam barang dijual.Pakaian, barangan elektrik, benih-benih pokok, mainan kanak-kanak.Dah lama tak ke sana, tak de apa yang nak dibeli.Masa mula-mula datang nilah tempat yang selalu kami terjah untuk mencari barang rumah.Cadang nak mencari meja kecil nak diletakkan kat sisi katil supaya senang nak meletakkan hp atau jam loceng.Tinjau punya tinjau, ada tapi mahal tak jadi lah beli..Nanti boleh pergi lagikan (baik punya alasan).Hehehe..


macam-macam barang ada..

suka tengok poko-pokok yang dijual..
(gambar tak cantik sebab guna hp je)

Satu perkara lagi yang saya suka bila ke sini sebab kat sini boleh jumpa macam-macam orang.Putih, hitam, Muslim dan non muslim.Kat sinilah banyak boleh jumpa orang Islam.Kawasan ni juga kawasan black list polis sebab bila ramai je pendatang memang banyak kes jenayah berlaku.Tapi sepanjang ke sana tak pernah pula tengok apa-apa jenayah kat depan mata..

Lepas tu baru beli barang dapur.Penat tapi best juga dapat jalan-jalan hujung minggu tapi ada juga yang tak bestnya.Danish maraung-raung nak buka puasa bila balik mungkin sebab penat atau mungkin tergoda bila tengok Danial makan pisang.Saya menegah dia.Tapi bila saya kat dapur terdengar dia bercakap dengan adiknya dengan makanan penuh mulut.Adoi..Kantoi lagi semalam selepas dua hari berpuasa.Kalau camni tak boleh la nak meronda-ronda bila dia ada.

 

Thursday, August 12, 2010

Alahai, Kesiannya Anak

Anak saya, Danish, dah 7 tahun, puasa kali ni saya berazam nak latih dia berpuasa sepenuhnya.Tahun lepas saya cuma latih dia berpuasa bila weekend saja.Sempat la puasa 5-6 hari.

Semalam saya kejutkan dia untuk sahur.Senang je dia bangkit.Anak-anak saya, pantang disentuh terus jaga.Tak lah payah nak kejutkan berkali-kali.Mungkin ada mak-mak yang anaknya susah nak bangun boleh cuba petua saya ni, mulut jangan bising, sentuhlah anak dia akan bangun tanpa terkejut.Kalau terkejut dia akan rasa macam tak cukup tidur sebab tu dia susah jaga.

Bila Danish mengadap meja makan, tapi tak nak makan nasi..Saya berikan dua keping roti disapu jem.Alhamdulillah, habis..Semasa nak pergi ke sekolah saya bekalkan air kosong takut dia tak mampu bertahan.Cabaran betul melatih dia berpuasa sebab dialah satu-satunya pelajar muslim kat kelasnya.Mesti tak tahan godaan bila tengok budak-budak lain makan.Dia minum air saya bekalkan...Alahai kesiannya.

Hari ni sahur dia nak makan nasi ayam yang saya masak semalam, minum susu berperisa coklat.Tapi ke sekolah tanpa apa-apa bekal.Mujur kat sini budak-budak tak digalakkan berkongsi makanan.Harap-harap mampu bertahan sampai berbuka.

P/S: Subuh kat sini pukul 5.36 pagi, maghrib 5.45 malam. Awal jugalah sebab winter...

Wednesday, August 11, 2010

Nostalgia Malam Pertama Bersahur Part 2

Salam semua,
Hari ni nak sambung cerita semalam.Kisah ni berlaku ketika saya melahirkan anak sulung pada 2001..

Setelah berkahwin hampir 3 bulan alhamdulillah saya disahkan mengandung.Tidak ada sebarang masalah mula-mulanya.Sehinggalah kandungan mencecah umur 35 minggu.Saya bleeding tak tahu apa puncanya.Berikutan itu saya mendapat mc selama 3 minggu.Lama, kan.So mc akan tamat 2 minggu sebelum due date.Disebabkan saya kat Johor Bharu, suami kat Kuala Terengganu Penolong Kanan sekolah saya (dia boss,sebab tiada Pengetua) syorkan saya balik kampung dan menyambung mc sehingga anak lahir.Tq, Puan Jamiah.

Masih bleeding sekali sekala sehingga dua minggu di kampung.Tapi memang tak boleh detect apa puncanya.Tapi baby sihat.Tiga hari sebelum due date saya dah ada contraction, jadi pergi hospital berhampiran rumah saja.Tiga hari kat hospital saya sakit berterusan tapi belum baby belum ada tanda-tanda baby nak keluar. Saya pula demam sampai tak daya nak bangun.Malam keempat kat hospital, barulah ada tanda nak keluar.Malam tu malam pertama umat Islam berpuasa.Bila saya bagitau nurse yang bertugas, dia minta izin untuk beli makanan sahur dulu.Bengang betul saya.Akhirnya pukul 12 tengah malam saya dibawa ke labor room.

Polisi hospital masa tu suami tak dibenarkan menemani isteri bersalin.Suami saya ada kat luar bersama mentua.Mak saya pula tak boleh temani saya sebab adik sakit.Kat hospital tu cuma ada dua labor room.Empat atau lima midwife bertugas malam tu, sebahagian kat labor room sebelah.Manakala sebahagiannya bersembang kat meja depan labor room sambil dengar radio kuat-kuat.Di perut saya dipasangkan alat CTG (untuk kesan jantung baby).Disebabkan tak tertahan sakit, saya tekan emergency bell kat tepi katil.Seorang midwife datang tak masuk pun, cuma melaung dari depan pintu.Dia marah saya, katanya saya hanya akan bersalin pukul 4 pagi (berdasarkan bukaan rahim 1 jam = 1cm).Sedangkan saya dah rasa baby nak keluar. Dia kemudian kembali ke mejanya semula..

Kemudian saya panggil lagi.Saya nak buka CTG tu sebab saya rasa ia mengganggu pergerakan saya.Tak boleh nak mengiring, cuma melentang.Rimas betul.Akhirnya dia buka.Boleh la saya turun katil naik katil.Masuk toilet keluar toilet sambil melayan sakit.Saya tekan bell beberapa kali lagi, datang midwife dia check saya, katanya baby dah terberak dalam perut.Saya tak tahu pun baby dalam keadaan bahaya.Tak de pengalaman..Tapi midwife tu keluar lagi.Tinggal saya keresahan menanggung sakit.Selepas tu hampir 10 kali juga saya tekan bell untuk bagitau saya dah ready untuk bersalin tapi tak dilayan.

Hampir pukul 4 pagi, barulah permintaan saya dilayan.Tapi bila diorang check denyutan jantung, sah baby saya semakin lemah.Barulah diorang panik mencari nadi baby.Sekali meneran dah keluar.Girl.Tapi baby tak menangis.Hampir dua jam saya menunggu untuk tengok baby. Saya tanyakan midwife, katanya doktor tengah beri rawatan.Hati saya tak sedap.Sehinggalah setengah jam kemudian, saya diberitahu baby tak dapat diselamatkan.Sedihnya tak tercerita.Tengoklah diorang punya attitude, sepatutnya dia bagitau suami saya dulu, kan.Seketika kemudian, suami saya dibenarkan masuk.Saya boleh baca kekecewaannya.

Sebelum jenazah dibawa balik untuk urusan pengebumian, saya minta untuk renung wajahnya.Itulah pertama dan terakhir saya lihatnya.Sangat comel mirip Danish.Tiga kg beratnya.Penat-penat kandung 9 bulan saya tak dapat apa-apa hasil disebabkan kecuaian manusia lain.Apapun saya pasrah, dialah saham saya kat akhirat nanti.Insya Allah.Mula-mula ingat nak sue hospital, tapi bila fikirkan terpaksa post mortem mayat baby saya dan suami mengalah. Biarlah dia ke sana dengan tenang.

Saya terpaksa ditahan di wad hampir seminggu kerana kuman turut merebak dalam badan saya sehingga sel darah putih melebihi sel darah merah.Tuhan masih beri peluang untuk saya bernafas.Alhamdulillah.Saya masih menunggu rezeki baby girl selepas melahirkan Danish dan Danial secara cesarean. Kemudian keguguran pula bulan Febuari lepas..Semua yang berlaku ada hikmahnya,kan.Kita pasti akan diuji selagi mengaku beriman.

Firman Allah: Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? (Al-Ankaboot, Chapter #29, Verse #2)





Tuesday, August 10, 2010

Posa Ke Tidak

Pukul 9 malam kami masih confius nak posa ke tidak,
Ada masjid yang tengok anak bulan malam ni,
Ada yang tengok esok..
Imam daripada Malaysia, ikut Malaysia,
Yang dari Indonesia berkiblatkan Indonesia,
Yang dari Turki berpandukan Turki,
Itulah orang Islam dah lah minoriti,
Tapi masih tak bersatu..
Lastly ikut je Masjid Hepburn, yang paling hampir dengan rumah kami..
SELAMAT BERPUASA.

Nostalgia Malam Pertama Bersahur Part 1

Insya Allah mulai esok kita akan mula berpuasa.SELAMAT BERPUASA untuk semua.Moga Ramadhan kali ni yang terbaik untuk kita.Manalah tau tak sempat menikmati Ramadhan tahun depan,kan.

"Berkerjalah untuk duniamu seolah-olah kamu hidup selama-lamanya dan berkerjalah (beramal) untuk akhiratmu seolah-olah kamu akan mati esok hari."
Hadis riwayat: Ibn Asakir.

Bila tiba je Ramadhan, saya akan teringat dua peristiwa yang sangat meninggalkan kesan terhadap diri saya.Yang pertama berlaku ketika saya masih belajar tahun akhir kat UM.Malam tu saya dengan roomate tidur lewat kerana menyiapkan assignment.Biasalah kalau tak dekat dateline main-main je lebih.Manakala roomate saya pula tengah bertungkus lumus menyiapkan workpaper.Pukul 12 malam saya dah mengantuk. Saya memang hampir tidak pernah buat kerja hingga ke pagi..Petua kejelitaan nih..hehehe.Padahal memang jenis malas dan lembik pon.. Roomate saya pula berjaga hingga pukul 2pagi.

Disebabkan panas, kami biasanya membuka tingkap sampai ke pagi.Tak cuak langsung kami sebab duduk kat tingkat 8 apartment Vista Angkasa!Ketika roomate saya baru nak melelapkan mata, tiba-tiba nampak sekilas bayang-bayang lelaki di tepi tingkap, kemudian masuk ke bilik kami melalui tingkap tu.Dia punya gigil tak usah cerita la.Saya memang tak sedar apa-apa la sebab kepenatan.Lelaki tu terus menuju ke meja study kami.Ambik sesuatu kemudian terus keluar.

Dia sambil menangis teresak-esak kejutkan saya.Ingatkan dikejutkan untuk sahur, saya pun dalam mamai-mamai terkejut dengar ceritanya.Bila check rupanya wallet saya je yang hilang.Terbang RM60 duit saya.Satu jumlah yang besar masa belajar huhuhu.Mujurlah tak diapa-apakan kami.Kami tak tahu nak buat apa masing-masing ketakutan.Tutup tingkap nak selamatlah konon, terus tercongok-congok kat ruang tamu. Sebenarnya semua kunci pintu dan tingkap rumah tu rosak kecuali pintu depan.Housemate lain, bangun sahur pukul 5 baru sedar apa yang berlaku. Kami discuss untuk buat report polis dan saya pula meminta tolong abang ipar baiki kunci-kunci pintu sebab sepanjang menyewa kami tak pernah jumpa owner yang sedang belajar kat Australia ketika tu.Manakala bila malam ada jadual berjaga kat ruang tamu.Ala-ala rukun tetangga gitu.

Esoknya, laporan polis dibuat, kunci dah dibaiki dan malamnya jadual berjaga pon on.Tapi ketakutan kami masih belum hilang. Malam kedua berjaga, giliran saya dan roomate berjaga.Kami tidur kat ruang tamu.Tiba-tiba sekali lagi kami terdengar orang berjalan di balkoni (balkoni kami dan jiran cuma dipisahkan sebatang tiang yang besarnya sepemeluk).Jadi senang-senang je orang nak panjat.Saya dan roomate sekali menjadi terpaku dan saling berpelukan.Rasa macam nak luruh jantung.Panik betul.Sehingga tak tahu apa nak dibuat.Kami dah jadi patung bernyawa! Dia cuba kopak sliding door.Digoyang-goyangnya pintu tu tapi tak berjaya.Kemudian dia cuba kopak tingkap bilik kami di tepi balkoni tu juga tak berjaya. Lastly dia keluar ke balkoni sebelah!Kami suspek jiran sebelah yang cuba masuk rumah kami.Bila dah reda takut baru kami bagitau housemate lain.Apalah nasib saya dan roomate..

Kali kedua kami buat report polis, tapi tak diterima kami diarahkan ke balai polis Bukit Aman pula sebab kes berulang.Petang, polis datang ke rumah, romate saya kena interview. Saya ke kelas masa tu.Hish ruginya kalau tak saya mesti rasa glamer jugalah kan, sebab yang interview tu mesti bukan calang-calang polis..Jiran sebelah pun kena interview sebab kami suspek diorang.Alhamdulillah lepas tu kami tak diganggu lagi..

Ada lagi satu peristiwa penting dalam hidup saya yang juga berlaku malam pertama sahur..Tunggu sambungannya ye..


Friday, August 6, 2010

Makan Hati Tak Berulam

Masih dalam mood bengang.Semua malas.. blogging malas, masak malas, basuh baju malas,baca buku malas..ada juga orang cam saya kat dunia ni kan?hehehe

Makan tengah hari nie, menunya asam pedas ayam dan solok lada.Asam pedas- pakai rempah segera ADABI je, solok lada-saya dah buatnya dua hari lepas.Panaskan sahaja.Macam tak sesuai langsung je padanan dua menu ni kan?Aiyyo malas punya pasal.

Sebenarnya ada perkara yang mengusik hati ni..Pembaca semua tak payah terasa pula.Tak ada kaitan dengan kalian.Orang tu kat dunia realiti saya..bukan maya..Dah berterus terang tapi dia buat-buat tak tahu je.So makan hati tak berulam la..

Itulah kadang-kadang hati perempuan, tercuit sikit je tapi semua jadi mangsa termasuk blog nie..hehehe..Mujur tak berjangkit kat anak-anak.Alhamdulillah masih boleh control..

Thursday, August 5, 2010

Entry Cubaan Mengembalikan Mood

Entry khas untuk mengembalikan mood rajin..

Hujung minggu lepas kami telah menghadirkan diri ke uni suami untuk sesi penggambaran khas raya anjuran MyPSA (Persatuan Pelajar Msia Western Oz).
Tujuan utamanya adalah untuk beramah mesra dengan Presiden dan barisan exco yang baru dilantik.
Disebabkan hampir raya,majlis berkenaan diberi nama sedemikan.
Malas nak cerita panjang-panjang (Tengok! masih menebal mood 'M'..bilalah nak pulih sepenuhnya..)
Layan gambar je la ye..


gambar sekeluarga..

tak tau kenapa jadi kecik gambar nih..


Monday, August 2, 2010

Patutkah Saya?

Salam semua,
Saya tak tau la kenapa sejak akhir-akhir ni malas sangat-sangat nak up date blog..tapi rajin juga jenguk blog orang kalau ada kesempatan..Sekali sekala rasa cam nak tutup je blog ni..

Kalau tak update rasa bersalah pula..sebab kesian bila kawan-kawan selalu bertanya kabar kat Chatbox.Saya rasa kemesraan kawan-kawan yang dikenali secara maya ni sedikit sebanyak telah mengisi hidup saya.Tapi kenapalah saya malas sangat nak berblog?

Jadi patutkah saya tutup terus blog ni?